IPOH: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz menyifatkan laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang meletakkan Perak negeri kedua paling miskin selepas Kelantan sebagai satu laporan yang langsung tidak betul.
Katanya, beliau juga mempunyai pandangan yang sama seperti mana kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyangkal laporan itu sebagai laporan yang tidak benar.
"Saya nak tanya Khazanah apakah mereka tahu apa itu kemiskinan dan saya tidak faham cara mereka mengukurnya tapi saya juga seperti Menteri Besar saya rasa maklumat mereka tidak betul langsung...tidak betul,’’ katanya yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Berliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Pelancongan Waterfront City, Lahat, Ipoh pada Jumaat.
Menteri Besar Perak Dr Zambry semasa bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco semalam mempelawa KRI bersemuka untuk membincangkan laporan yang meletakkan Perak sebagai negeri kedua paling miskin.
Menurut beliau, kerajaan negeri mahu tahu metadologi dan persampelan yang digunakan dalam kajian KRI itu.
Katanya, selain KRI Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Statistik turut dijemput mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.