IPOH: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan membawa usul mengenai wabak Zika ke mesyuarat Kabinet yang dikesan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya akan memastikan isu terbabit akan dibincangkan dalam Kabinet memandangkan ia turut memberi kesan kepada pelancongan negara.
Menurut beliau, isu wabak Zika itu perlu mendapat perhatian Kabinet supaya akan ada pelarasan dalam membuat keputusan mengenainya.
"Sudah pasti negara kita tidak terkecuali menerima kesan Zika yang bakal menjejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia, jadi perkara ini perlu diutamakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Pelancongan Waterfront City, Lahat, di sini pada Jumaat.
Seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang menjadi individu pertama di negara ini dijangkiti virus Zika selepas berkunjung ke Singapura selama tiga hari bagi melawat anaknya yang juga dijangkiti virus tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, wanita tersebut yang berumur 58 tahun ke Singapura bermula 19 Ogos lalu, selepas pulang ke Malaysia dia mempunyai gejala demam selain terdapat ruam di beberapa anggota badan.