IPOH: Dua orang Ahli Majlis yang baharu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengangkat sumpah pada Jumaat, sekaligus melengkapkan kouta semua 24 Ahli Majlis MBI.
Dua Ahli Majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Kereta Perak, Mustafar Rahadi yang mengisi kouta untuk pertumbuhan bukan kerajaan (NGO) dan Naib Ketua Pemuda MCA Batu Gajah merangkap Bendahari Pemuda MCA Perak, Leong Chee Wai.
Mereka mengangkat sumpah bagi tempoh 2016 dalam satu majlis khad di Dewan Mesyuarat MBI di sini di hadapan Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.
Zamri di dalam ucapannya mengucapkan tahniah di atas pelantikan itu dan berharap ia dapat menyuntik semangat baharu dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada warga Bandaraya Ipoh.
Menurut beliau, setiap Ahli Majlis mesti memahami tugas dan tanggungjawab mereka di samping berganding bahu untuk merancang pembangunan Bandaraya Ipoh secara teratur dan tersusun.
“Justeru itu saya menyeru agar Ahli Majlis dan Pengurusan MBI sentiasa mengamalkan konsep kerja berpasukan untuk menangani cabaran dan tuntutan sosial dari dari semasa ke semasa.
“Kerjasama dengan jabatan dan agensi-agensi lain juga amat penting dalam melaksanakan tugas dan fungsi majlis dengan lebih berkesan, selaras dengan pendekatan strategi lautan biru,” kata Datuk Bandar.
Beliau memberi contoh, antara kejayaan yang telah dicapai oleh MBI ialah menerima Sijil Ketua Audit negara Penyata Kewangan selama lapan tahun terturut-turut sejak 2008, menjadi PBT pertama di Malaysia yang memperolehi Sijil Pematuhan Saga dan dianugerahkan 5 bintang dalam Pengauditan Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan
Sementara itu, Mustafar yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan MBI kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi Ahli Majlis.
Beliau yang juga Naib Pengerusi MyPPP Perak berazam akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dan bersama-sama Ahli Majlis serta anggota MBI untuk membangunkan lagi bandaraya Ipoh.