IPOH: Penerjun negara Cheong Jun Hoong diraikan dalam majlis minum petang bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan BAIDURI bagi memberi penghargaan kepada kejayaan beliau pada Sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini.
Jun Hoong yang ditemani ibunya, Leow Lai Kuan turut beramah mesra bersama ahli-ahli BAIDURI yang diterajui Yang Dipertuanya, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Saripah ketika ditemui berkata, majlis ringkas itu dianjurkan untuk menyatakan sokongan serta tanda gembira pihak BAIDURI terhadap prestasi penerjun negara itu.
“Kami bangga dan rasa teruja untuk beri penghargaan kepada Jun Hoong, dalam masa yang sama BAIDURI menyokong aktiviti sukan sebagaimana kami juga terlibat dengan sukan boling dan badminton selama ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis minum petang di Kediaman Menteri Besar pada Jumaat.
Dalam majlis itu, BAIDURI turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Jun Hoong selain memberi kata-kata semangat kepada beliau dalam mencapai kejayaan lebih besar dalam kariernya.