top of page
muinsapidin

RM700,000 Bagi Pembinaan Dewan Orang Ramai Kg Baru Jerlun

KUALA KANGSAR: Sejak pembukaan Kg Baru Jerlun pada tahun 1952, hanya sebuah gelanggang bola keranjang yang menjadi tempat perhimpunan buat seramai 1,328 penduduk kampung.

Kini, penantian mereka berakhir dengan pembinaan sebuah dewan serbaguna yang bakal dibina pada penghujung tahun ini.

Dengan keluasan tapak sebanyak 4,893 kaki persegi, dewan untuk komuniti Tiong Hua di kampung tersebut merupakan satu hadiah yang dinantikan sejak sekian lama penduduk

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, dewan serbaguna itu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memberikan kemudahan buat penduduk di kampung tersebut.

"Penduduk di sini telah lama meminta sebuah dewan dan mereka meminta peruntukan sebanyak RM300,000, namun melalui usaha semua pihak kerajaan pusat telah meluluskan sebanyak RM 700,000 dan keluasan dewan itu pun telah ditambah.

"Kesemua ini merupakan salah satu usaha berterusan daripada kerajaan negeri dalam memastikan kami mengotakan janji untuk memberikan yang lebih baik lagi buat rakyat di negeri Perak," katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja di Kg Baru Jerlun pada petang Khamis.

Menurutnya, pembinaan dewan itu memakan masa sekitar dua tahun dan buat masa ini proses pengukuran tapak sedang dilakukan sebelum pembinaan bermula pada Disember depan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid berkata, pembinaan dewan tersebut melengkapkan perancangan pembangunan khusus untuk penduduk di bandar diraja itu.

"Ianya selaras harapan kami untuk memastikan semua kaum dan penduduk setempat mendapat kemudahan selengkapnya dan saya pasti dewan serbaguna ini akan merancakkan lagi program komuniti di kawasan ini.

"Saya juga ada berbincang dengan pihak JKR mengenai ketinggian siling dewan dan melengkapkannya sebaik mungkin, agar ia boleh digunakan untuk program kesukanan dan komuniti sebaik mungkin," ujarnya lagi.

Katanya, beliau juga akan mengemukakan perancangan dan pandangan kepada kesemua agensi dan jabatan yang sedia bekerjasama dalam memastikan identiti bandar diraja itu diketengahkan di mata dunia.


36 views0 comments
bottom of page