top of page
muinsapidin

Perak Pantau Penularan Zika

IPOH: Perak akan melakukan pemeriksaan di pintu masuk utama di negeri ini bagi memantau penularan wabak zika, selepas kementerian kesihatan mengesahkan kes pertama berlaku di Malaysia melibatkan seorang wanita di Klang, Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon telah diminta memaklumkan perkara itu kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk bersama-sama memantau penularan wabak berkenaan.

Beliau memberitahu, Pengarah Kesihatan Negeri juga telah diminta untuk berbincang dengan pihak Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini yang mengendalikan penerbangan terus dari singapura ke ipoh.

“Dalam mesyuarat exco tadi pun telah kita buat arahan itu, arahan segera khususnya di kawasan dekat airport kita, kawasan pintu masuklah, pintu masuk utama, cuma kita yang ada direct contact dengan Singapura ialah daripada Ipoh – Singapura,” katanya selepas mesyuarat mingguan exco di pejabatnya di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengesahkan seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang dikenal pasti dijangkiti virus zika selepas pulang dari melawat anaknya di Singapura.

Wanita berkenaan berada di Singapura selama tiga hari bermula 19 Ogos lalu bagi melawat anak perempuannya yang disahkan dijangkiti zika di negara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri akan memikirkan bentuk ganjaran yang akan diberikan kepada anak Perak yang menangi pingat di Sukan Olimpik Rio.

“Apa pun, kita mengiktiraf kemenangan mereka dan kita juga berbangga dengan pencapaian mereka,” ujarnya.

Ketika mengulas perutusan Perdana Menteri sempena Hari Kebangsaan ke 59 baru-baru ini yang menyentuh kartonis terkenal, Datuk Lat dan Restoran Vanggey sebagai lambang perpaduan, Dr Zambry berkata, ia sebenarnya menjadi kebangaan negeri.

Katanya, Lat dihargai oleh pelbagai kaum dan hasil karyanya juga diminati oleh semua kaum manakala Vanggey melambangkan perpaduan kerana peniaga India boleh berkongsi kedai dengan kaum Cina dengan pelanggannya dari pelbagai kaum.

“Ia menjadi kebanggaan Perak kerana kita dijadikan contoh kehidupan harmoni untuk semua kaum,” ujar beliau.


8 views0 comments
bottom of page