IPOH: Kerajaan negeri Perak meminta Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Jabatan Statistik mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa negeri untuk membincangkan secara terperinci mengenai kajian yang dilakukan oleh KRI.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan itu perlu diadakan dalam masa terdekat bagi mengetahui dan memperbaiki kaedah (methodologi) serta sampling yang digunakan untuk kajian yang dijalankan oleh mereka.
Menurut beliau, sekiranya terdapat kekurangan di dalam kajian, khususnya dari segi kaedah dan sampling, kerajaan negeri juga boleh membantu.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk terus berpolimek dalam hal laporan yang dikemukakan KRI, sebaliknya untuk membetulkan persepsi sesetengah pihak kononnya Perak negeri kedua termiskin selepas Kelantan.
“Kita faham apa yang mereka cuba berikan lebih melibatkan kepada soal analisis, perspekstif secara menyeluruh dan kalau kita lihat secara menyeluruh, negeri Perak bukanlah berada dalam kategori negeri miskin seperti sesetengah pihak cuba memberi gambaran,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini pada Rabu.
Dr Zambry berkata, walaupun kajian KRI itu lebih kepada pendapatan purata RM6,000 rakyat, tetapi cara pembentangannya seolah-olah menggambarkan Perak merupakan negeri kedua termiskin.
Sebaliknya, kata beliau, berdasarkan fakta-fakta yang ada, misalnya dari segi urusan, bajet dan pinjaman kerajaan negeri, ia bukanlah seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.
Tambahan pula, kata beliau, Perak tidak pernah mengambil pinjaman untuk membayar gaji, walaupun ada beberapa negeri yang terpaksa berbuat demikian.
“Begitu juga gaji agensi-agensi kerajaan negeri, termasuklah seperti PKNP, SADC dan LAP yang bukan sahaja gaji berjalan seperti biasa, tetapi bonus juga dibayar,” tambahnya.
Menteri Besar menjelaskan, semua ini perlu dinyatakan bagi membetulkan persepsi kerana jika tidak, ia akan membawa impak yang tidak baik kepada iklim pelaburan di negeri.
Beliau berpendapat, kekayaan sesebuah negari tidak hanya bergantung kepada pendapatan rakyatnya, tetapi banyak lagi indikasi lain, termasuk indeks harga pengguna, kuasa membeli, pemilikan hartanah, peratusan kemiskinan, kadar inflasi dan pertumbuhan KDNK.
“Bukan kita menolak, tetapi kita nak tau juga dan sewajarnya semasa kajian itu, dapat diperincikan bersama dengan pihak kerajaan negeri kerana dapat membantu kita juga untuk melihat aspek-aspek mana yang perlu diperbaiki lagi,” ujar beliau.
Dalam hubungan ini, beliau juga telah meminta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) agar dapat memulakan juga kajian berkaitan negeri Perak untuk mengemaskini data-data, khususnya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan kerajaan Persekutuan dapat turut memberikan bantuan2-bantuan susulan, khususnya dalam konteks agihan kekayaan dan pembangunan yang dilakukan.
Dr Zambry memberi contoh, beliau pernah mengemukakan cadangan mengenai agihan bajet yang dibuat kepada Perak agar tidak dimasukkan sekali bajet yang diberikan untuk kementerian tertentu.
“Sebagai contoh, peruntukan kepada Kementerian Pertahanan yang melibatkan navy, ia tidak boleh dianggap sebagai bajet kepada negeri kerana ia bajet kepada Kementerian Pertahanan,” tambahnya.