top of page
muinsapidin

Jun Hoong sasar pingat di Kejohanan Renang Asia Jepun

Baru sahaja 11 hari Sukan Olimpik Rio 2016 melabuhkan tirainya, atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong, telah pun meletakkan sasarannya untuk menyertai kejohanan Renang Asia ke-10, Jepun pada November depan.

Jun Hoong yang memenangi pingat Perak di Sukan Olimpik Rio baru-baru ini berkata, dia akan memulakan latihan bagi menyertai kejohanan tersebut bermula Isnin ini di Bukit Jalil.

Menurutnya beliau masih belum dapat meletakkan sasaran pingat bagi AASF kerana latihan intensif untuk menentukan keupayaannya masih belum bermula.

Katanya beliau bagaimanapun tetap mensasarkan untuk mengutip pingat bagi kejohanan di Jepun itu nanti.

“Belum tahu pingat apa, tetapi sasaran latihan adalah dapatkan pingat setelah berbincang dengan jurulatih saya,” kata atlet berusia 26 tahun itu.

Menjawab satu soalan, Jun Hoong berkata dia akan bercuti selama empat hari untuk bersama keluarga di Ipoh.

Katanya tuntutan jadual latihan yang ketat tidak membenarkannya untuk bercuti panjang meskipun sudah tidak pulang ke Ipoh hampir setahun.

Beliau bagaimana pun tidak menyesal atas masa yang amat terhad bersama keluarga kerana sedar ia merupakan sebahagian pengorbanan yang perlu dilakukan untuk lebih berjaya sebagai atlet penerjun bertaraf antarabangsa.

“Hampir setahun saya tidak pulang ke Ipoh. Jadi jika ditanya apa perasaan saya ketika ini jawapan saya adalah saya sangat teruja untuk menghabiskan masa bersama keluarga sebelum memulakan semula latihan pada 5 haribulan ini.

“Selepas ini saya tidak tahu bila lagi saya akan pulang ke kampung halaman saya,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di Stesen KTM, Ipoh pada Khamis.

Lebih 20 ahli keluarga serta kenalan Jun Hoong menyambut kepulangan jaguh atlet terjun itu ketika dia tiba di Stesen KTM daripada Kuala Lumpur tengahari tadi.

Ditanya apakah makanan kegemarannya, anak sulung daripada tiga adik beradik itu berkata dia tidak mempunyai apa-apa makanan yang diidamkan kecuali ingin mendapatkan ‘dim sum’ Ipoh.

“Saya akan makan apa sahaja yang ibu saya masak kerana dah lama saya tidak balik selain mempunyai senarai panjang makanan yang akan saya makan dalam tempoh empat hari ini,” katanya.


37 views0 comments
bottom of page