IPOH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku caj lebih tinggi dikenakan kepada pengguna dalam proses naiktaraf sistem bil lama kepada sistem yang baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, tidak timbul isu caj dikenakan berlebihan daripada yang kadar bulanan biasa walaupun bil dikira untuk tempoh 45 hari atau 65 hari.
Sebaliknya, kata beliau, bil yang diterima pengguna adalah sama seperti bil bulanan sebelumnya kerana ia dikira secara pro-rata dengan kadar blok tarif yang dikenakan.
“Mungkin sebab dibaca agak lewat, jumlahnya besar, bagi persepsi yang berbeza-beza di kalangan pengguna tetapi kadar bayaran masih sama setiap bulan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Mohd Zahir Md Nagor.
Zainol mengakui beliau sendiri turut menerima banyak aduan daripada pengguna yang mempertikaikan bil eletrik yang mereka terima dan memanjangkan kepada pihak TNB untuk memberi penjelasan.
Dalam hubungan ini, beliau menasihatkan pengguna perkhidmatan utiliti itu supaya mendaftar dengan portal MyTNB yang menggabungkan tiga laman sesawang TNB sedia ada.
Menurut beliau, laman sesawang baharu itu merangkumi e – perkhidmatan (untuk kegunaan individu), e-Bulk (untuk syarikat dengan rangkaian premis atau cawangan), e-aplikasi (untuk kontraktor) dan laman korporat TNB.
“Pengguna akan dapat melayari pelbagai kandungan dan perkhidmatan di dalam portal ini, termasuk hal-hal mengenai akaun, permohonan bekalan, kontraktor, pembayaran bulk dan teknologi boleh diperbaharui,” ujarnya.
Lebih menarik lagi, tambah Zainol, dengan sistem baharu itu, pengguna boleh mengetahui sendiri jumlah yang digunakan melalui portal yang disediakan.
“Pengguna juga boleh buat perancangan penggunaan letrik masing-masing, khususnya syarikat-syarikat besar, sekaligus boleh menjimatkan kewangan mereka,” kata beliau.
Beliau menjelaskan, kerja-kerja naiktaraf itu yang bermula 21 Julai lalu dan dijangka stabil sepenuhnya menjelang November ini telah dimaklumkan kepada masyarakat awam melalui media arus perdana, di belakang bil, laman sesawang serta facebook TNB.