KUALA KANGSAR: “Kalau hujan atau cuaca sangat panas, kami terpaksa membatalkan aktiviti yang telah dirancang atau terpaksa menempah khemah yang akan menelan belanja yang tinggi".
Itulah antara keluhan Hor Kit Chin, 52, yang telah menetap di Kg Baru Jerlun, di sini sejak setengah abad yang lepas mengenai ketiadaan sebuah dewan di kawasan perumahan mereka.
Namun, segala masalah dan penantian mereka akhirnya diselesaikan dengan kelulusan tapak Dewan Serbaguna Kg Baru Jerlun yang baru sahaja diberikan pada hari ini (Khamis).
Hor berkata, dengan pembinaan dewan tersebut kaum TiongHua di sekitar Kg Baru Jerlun bukan sahaja dapat melaksanakan pelbagai aktiviti bersama, malah ia juga merupakan satu pemberian yang amat bermakna khususnya buat keselesaan generasi masa depan.
"Bagi orang lain, mungkin ini sekadar dewan biasa, namun ianya amat bermakna buat kami kerana sebelum ini gelanggang bola keranjang tidak mempunyai atap dan tempat berteduh, jadi kami perlu menghadkan aktiviti di waktu panas, tambahan pula fasiliti seperti lampu, set tiang jaring bola keranjang juga sudah agak lama.
"Dewan yang akan dibina ini juga melambangkan bahawa kami sebagai rakyat Kuala Kangsar dan Perak turut diberi perhatian dan diambil berat oleh pihak kerajaan negeri," katanya kepada Suara Perak.
Sementara itu, Ketua Kampung Kg Baru Jerlun, Wong Sai Chuen,56 berkata, setelah menjadi ketua kampung sejak 20 tahun lepas, beliau telah berkali-kali cuba memohon pembinaan sebuah dewan untuk penduduk di situ.
"Ini merupakan hadiah paling lumayan buat saya kerana ini merupakan perjuangan bersama semua pihak, baik dari pemimpin sebelum ini dan juga pemimpin sekarang, Datin Mastura sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
"Bayangkan, sejak 1952, sebelum zaman kemerdekaan lagi, tidak ada sebarang bangunan untuk perhimpunan kami di kawasan perkampungan sehinggalah hari ini.
"Saya yakin, akan ada lebih banyak pembangunan buat semua kaum di daerah ini, dan dewan ini merupakan salah satu projek perintis untuk membuktikan kesungguhan mereka," katanya.
Sebelum ini, lebih daripada 1,000 penduduk di Kg Baru Jerlun terpaksa menggunakan gelanggang bola keranjang di kawasan perumahan mereka untuk sebarang aktiviti melibatkan komuniti Tiong Hua tersebut.