Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim telah berkenan untuk bersama ribuan rakyat negeri menyambut sambutan ambang Hari Kemerdekaan negara ke-59 malam tadi.
Pasangan Diraja itu tiba di lokasi sambutan Dataran Ipoh seawal 8.30 malam bagi menyertai acara Kayuhan Merdeka bersama rakyat pelbagai bangsa sebagai simbolik kepada semangat perpaduan yang dikecapi negara selama ini.
Turut hadir mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Sarifah Zulkipli serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Sultan Nazrin pada mulanya berkenan melepaskan 3,000 peserta kayuhan yang mengambil bahagian sejauh 20 kilometer sebelum baginda bersama Tuanku Zara dan barisan kepimpinan negeri yang lain berkayuh sejauh lapan kilometer di sekitar bandar Ipoh.
Sambutan tersebut kemudiannya diteruskan pada jam 11.30 malam dengan keberangkatan tiba baginda berdua di dataran tersebut bersama tetamu-tetamu kehormat lain bagi menunggu detik 12 malam.
Sementara itu, majlis telah dimeriahkan dengan persembahan tarian dan nyanyian yang melibatkan tiga kaum utama di negara ini yang iaitu Melayu, Cina dan India.
Dr Zambry turut mendeklamasikan sajak nukilan Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam ucapan sempena Hari Kemerdekaan.
Sebaik jam mencecah detik 12 malam, laungan ‘Merdeka’ telah bergema di seluruh padang MBI yang dilaungkan oleh tetamu kehormat serta disambut rakyat berbilang bangsa sebelum disusuli nyanyian lagu negaraku.