top of page
muinsapidin

Meriah Kelahiran Bayi Merdeka di Ipoh

IPOH – Tiada hadiah lebih bermakna daripada kelahiran anak perempuan pada tarikh keramat 31 Ogos buat pasangan Nurul Izyani Ahmad, 30, dan Mohd Fauzi Idris, 29, yang turut menyambut ulangtahun perkahwinan ketiga mereka pada hari ini.

Bayi bertuah yang merupakan anak kedua buat pasangan itu dilahirkan sekitar 4.14 pagi selepas seluruh negara menyambut sambutan ambang kemerdekaan.

Nurul Izyani berkata, dia dan suami tidak menyangka anak kedua mereka akan lahir pada tarikh keramat 31 Ogos itu kerana laporan perubatan menjangkakan tarikh lahir sebenar pada 3 September.

“ Anak kedua ini mengulangi sejarah kelahiran anak pertama yang lahir pada 1 Ramadan pada dua tahun lepas, dan sekaligus menjadikan ia hadiah paling bermakna kerana ianya juga ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga.

“Kini, kami akan meraikan tiga sambutan sekaligus pada 31 Ogos iaitu sambutan kemerdekaan, ulang tahun perkahwinan serta ulang tahun anak kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pada Rabu.

Sehingga berita ini ditulis, menyaksikan Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB) menyambut sembilan bayi merdeka dan enam daripadanya merupakan bayi lelaki.

Bayi pertama dilahirkan adalah bayi lelaki seberat 2.0 kilogram pada jam 12.25 malam dan yang terakhir direkodkan bayi perempuan seberat 3.0 kilogram pada jam 10.23 pagi.

Sementara itu di Hospital Pantai Ipoh, pasangan Nor Shaziela Kamaruddin, 27, dan Mahadhir Abd Hamid, 38, ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan rasa gembira mereka apabila menyambut kelahiran anak sulung pada 31 Ogos.

Nor Shaziela berkata, dia sepatutnya dijadualkan masuk ke bilik bersalin lebih awal, namun atas beberapa perkara, dia hanya berkesempatan berada di bilik berkenaan sekitar jam 10 malam.

“Bila tengok jam, terdetik dalam hati moga dapat lahirkan anak selepas jam 12 malam..dapatlah saya timang anak merdeka, Alhamdulillah..doa saya termakbul,” katanya.

Anak lelaki seberat 3.2 kilogram milik pasangan itu lahir pada jam 2.58 pagi secara normal.

Nor Shaziela berkata, dia dan suami menganggap kelahiran anak pada tarikh sama negara menyambut hari kemerdekaan sebagai satu rezeki.

“Teruja memang saya teruja..saya anggap ini tuah dan rezeki kami sejak mendirikan rumah tangga 2014 lalu,” katanya.

Seramai lima bayi merdeka dilahirkan di Hospital Pantai Ipoh, semalam dan kesemuanya adalah lelaki dengan berat masing-masing sekitar 3.1 hingga 3.75 kilogram.


103 views0 comments
bottom of page