IPOH: Kajian Keadaan Isi Rumah Ke-2 yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang meletakkan Perak sebagai negeri kedua berpendapatan rendah dibuat dengan tidak berlandaskan fakta yang tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, fakta serta angka yang diguna pakai dalam kajian tersebut amat mengelirukan serta memberi gambaran yang salah mengenai keadaan sebenar di negeri ini.
Menurut beliau angka yang dikeluarkan KRI adalah mengelirukan dan memberi maklumat yang salah kepada rakyat.
“Kita tertanya-tanya bagaimana mereka mendapat semua angka dan fakta tersebut dan apakah kaedah atau mod yang digunakan untuk menjalankan kajian tersebut kerana ianya jelas tidak mengambarkan keadaan sebenar,” katanya pada satu sidang media khas di Ipoh pada Rabu.
Jelas beliau, pertumbuhan purata isi rumah untuk negeri ini sebenarnya telah pun meningkat kepada 51.9 peratus daripada 2009 hingga 2014.
“Pada 2009, purata pendapatan isi rumah adalah RM2,809 tetapi pada 2014 ianya telah pun meningkat kepada RM4,268, ianya adalah jauh lebih baik daripada Selangor dengan peningkatan 38.4 peratus.
“Mereka juga seharusnya mengambil kira faktor kuasa membeli di negeri ini, sebagai contoh kehidupan dengan RM2,000 di Perak dan RM2,000 di Selangor adalah berbeza,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, dari segi peratusan kadar miskinan di Perak pula pada 2016 adalah 3.29 peratus dan kadar miskin tegar pula berada pada 0.74 peratus.
“Sekiranya dia mengatakan negeri kita banyak penduduk miskin, tetapi statistik terbaru menunjukan daripada 2,440,869 penduduk negeri ini, bilangan kemiskinan adalah 4,757 orang iaitu sama dengan 3.29 peratus, ianya lebih rendah berbanding Selangor dengan 5.20 peratus dan Penang 3.34 peratus.
“Untuk miskin tegar pula jumlahnya adalah 597 dengan hanya kadar 0.74 peratus. Untuk kadar miskin dan kadar miskin tegar kita berada di tangga kelapan daripada 15 negeri seluruh negara, jadi bagaimana kita adalah negeri kedua termiskin?”
Justeru beliau memberitahu, kerajaan negeri menyangkal laporan tersebut dan akan menghubungi pihak KRI mengenai perkara berkenaan.
“Institut kajian seharusnya tahu kalau mereka bawa keluar fakta yang salah ini ianya akan memberi kesan kepada negeri serta rakyat.
“Ianya sudah tentu akan memberi impak kepada pelabur-pelabur dan mewujudkan satu persepi tidak benar terhadap kerajaan negeri,” katanya.
Dalam kajian KRI tersebut, Perak menjadi negeri kedua selepas Kelantan yang mempunyai isi rumah kurang di bawah RM2,000 sebulan selain 81.1 peratus isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.
KRI menjadikan pendapatan RM6,000 sebulan untuk membezakan antara tahap pendapatan isi rumah antara negeri-negeri kerana pendapatan RM6,000 sebulan itu menghampiri pendapatan purata bulanan isi rumah di Malaysia, RM6,141 sebulan.