top of page
muinsapidin

Tarik Tayar 70kg, Jalan 322km Demi Cinta

Pelbagai pendekatan boleh dilakukan bagi menzahirkan semangat cintakan negara bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-59 tahun ini.

Bagi Ikon Belia Perak, Khairil Aslan Ab Rashid pula beliau memilih menzahirkan rasa sayang kepada tanahair tercintanya dengan menarik beban tayar seberat 70kg berjalan kaki sejauh 322km dari Putrajaya ke Dataran Taiping.

Dengan menamakannya sebagai ‘Merdeka 322 Solo Expedition 2016’, pemuda berusia 41 tahun dari Batu Kurau, Taiping ini memulakan misinya pada 25 Ogos.

Setelah 10 hari berhujan dan berpanas menarik beban dengan berjalan kaki, Khairil Aslan akhirnya berjaya menghabiskan misinya itu apabila beliau tiba dengan selamatnya di Dataran Taiping pada jam 6 petang.

Kejayaan Khairil Aslan itu disambut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Datuk Rahim Md Ariff sebagai acara kemuncak kepada sambutan ambang Kemerdekaan peringkat Daerah Taiping di DataranTaiping bersama ribuan penduduk tempatan tepat jam 12 malam tadi.

Khairil Aslan yang merupakan anak jati Taiping telah melakar sejarah mengharumkan nama negara pada hujung tahun lepas apabila berjaya menawan tiga puncak Himalaya di Kathmandu, Nepal dalam tempoh sebulan sahaja, melahirkan rasa syukurnya kerana dapat menghabiskan expedisi itu dengan jayanya.

“Alhamdullilah.saya berjaya habiskan misi ini atas semangat kental dan mental kuat. Tidak ada apa yang dapat saya beri kepada negara tercinta selain membuktikan kemampuan saya menghabiskan apa yang saya lalui demi hadiah sempena Hari Kemerdekaan.

Apa yang saya buat ini adalah sebagai bukti kepada slogan Sehati dan Sejiwa,” katanya ketika ditemui.

Menurut Khairil Aslan lagi expedisi itu juga adalah sebahagian daripada persiapan dirinya untuk melangkah ke misi seterusnya iaitu untuk menjadi orang terpantas Asia mendaki tujuh puncak di tujuh benua dalam tempoh setahun.

“Bagi saya ini merupakan latihan terbaik bagi mempersiapkan diri saya untuk misi pendakian tujuh puncak tujuh benua yang akan saya laksana tahun depan.

Saya mahu memecah rekod menjadi pendaki terpantas Asia bagi pendakian tujuh puncak tujuh benua ini dengan sasaran untuk menghabiskan expedisi dalam tempaoh setahun,” katanya.

Beliau mengakui cabaran tersebut bukan mudah tetapi yakin bahawa dengan berbekal dengan semangat yang kuat dan kental, sesuatu yang sukar itu bukanlah perkara mustahil.


45 views0 comments
bottom of page