GERIK: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 memberi satu kelainan buat buat 17 keluarga Orang Asli suku Jahai di Kampung Aman di Royal Belum apabila mereka turut berpeluang buat kali pertama merasai kehangatan sambutan itu .
Rata-rata keluarga Orang Asli itu merasa amat teruja dengan inisiatif Perbadanan Taman Negeri Perak menganjurkan sambutan kemerdekaan dengan tujuan dapat berkongsi menyemarakan semangat patriotik bersama-sama mereka.
Tok Batin Kampung Aman Damai, Berangin Star, 30, berkata program tersebut merupakan satu pendekatan murni daripada perbadanan itu untuk berkongsi semangat cintakan negara di samping meraikan kebebasan yang dinikmati Malaysia.
“Sejak 59 tahun merdeka, inilah kali pertama kami benar-benar merasai kehangatan sambutan Hari Merdeka. Rasa terharu kerana dapat rasakan masyarakat Orang Asli tidak dipinggirkan.
Kebiasaanya sambutan Hari Merdeka diadakan di bandar-bandar sahaja tetapi kali ini ada pihak yang bersusah payah membawa sambutan ke kawasan jauh di pendalaman seperti kampung kami ini,” katanya.
Berangin mengsyorkan supaya lebih banyak aktiviti kemerdekaan dapat diadakan bersama masyarakat Orang Asli kerana ia dapat memastikan generasi muda gologan itu turut dapat menghayati erti kemerdekaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Ambang Merdeka bersama Masyarakat Jahai di Kampung Aman Damai, Royal Belum, anjuran Perbadanan Taman Negeri pagi tadi.
Bagi menyuntik semangat kemerdekaan Orang Asli di situ, rumah-rumah mereka yang beratapkan rumbia dihiasi dengan Jalur Gemilang manakala ceramah kemerdekaan turut diadakan.
Setiap keluarga turut menerima sumbangan barangan asas sebagai buah tangan daripada penganjur.
Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata penganjuran sambutan kemerdekaan bukanlah sesuatu yang baru namun mengakui ianya pertama kali diadakan bersama masyarakat Orang Asli di taman negeri itu.
"Saya yakin, orang asli bersama dengan etnik lain di negara ini akan lambat laun dapat menyelami maksud sebenar kemerdekaan dan pengorbanan yang dilakukan pemimpin terdahulu.
"Program seperti ini juga penting buat mereka kerana ia dapat membuat mereka rasa tidak dipinggirkan. Penempatan mereka terletak jauh di pendalaman dan agak sukar untuk mereka turut sama-sama terlibat dalam program sambutan Kemerdekaan yang kerajaan adakan setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata masyarakat Orang Asli terutama golongan muda perlu didedahkan dengan memberi sumbangan besar yang dilakukan oleh nenek moyang mereka yang menganggotai pasukan 'Senoi Praaq' untuk bersama-sama menentang komunis.
Pemangku Pengurus Besar PTNP, Noor Asmah Mohd Nawawi berkata beliau amat bersyukur kerana berjaya melaksanakan satu lagi tanggungjawab membawa sambutan kemerdekaan kepada masyarakat Orang Asli.
Beliau turut berbangga dengan perubahan sikap dan mentaliti suku Jahai yang sebelum ini dipandang serong oleh masyarakat setempat.
Suku Jahai merupakan kaum Orang Asli dari rumpun Semai-Negrito yang masih sukar menerima arus pemodenan dan lebih gemar tinggal di pendalaman.
"Kami menggunakan pendekatan 3M iaitu mendekati komuniti mereka dengan memahami apa kehendak dan masalah masalah mereka,seterusnya menyelesaikan persoalan mereka dengan mencara penyelesaian jangka panjang.
"Sehingga tahun ini sahaja, kami telah berjumpa mereka yang menetap di penempatan Sungai Tiang, Kampung Seri Wangi dan banyak lagi,” katanya.
Asmah berkata perbadanan merancang untuk mengadakan lebih program CSR di perkampungan Orang Asli di Taman Negeri itu seperti motivasi dan sahsiah diri.
“Walaupun mereka menolak pembangunan, ini tidak bermakna kita harus terus pinggirkan mereka. Perlu ada program-program yang bersesuaian terutama yang melibatkan peningkatan diri supaya komuniti ini dapat memperbaiki taraf ekonomi mereka sesuai dengan suasana kehidupan mereka,” katanya.