top of page
muinsapidin

Merdeka: Bebaskan diri daripada penjajahan minda

Pada 31 Ogos ini genaplah 59 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Pada hari tersebut, dapat dilihat sana sini Jalur Gemilang dikibarkan sebagai tanda memeriahkan sambutan dan menzahirkan semangat cintakan negara.

Namun apakah kita, lebih-lebih golongan muda hari ini benar-benar faham akan apa sebenar erti kemerdekaan itu.

Bagi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasaruddin Hashim secara peribadi erti kemerdekaan itu pada dirinya adalah satu perkara yang amat subjektif.

Katanya meskipun rakyat negara ini telah mengecapi kemerdekaan berpuluh tahun lamanya, beliau merasakan negara masih belum bebas 100 peratus sekiranya ancaman-ancaman penjajahan yang datang dalam pelbagai bentuk tidak dapat ditepis.

Menurutnya ancaman penjajahan pada hari ini bukan lagi dalam bentuk senjata atau peperangan, tetapi penjajahan minda dengan cara menguasai trend pemikiran generasi muda sesebuah negara.

Sambil melahirkan rasa agak kecewa dengan mentaliti belia yang masih gagal menghayati erti sebenar kemerdekaan, Nasarudin berkata golongan ini kini amat mudah membiarkan elemen-elemen penjajahan bertapak di negara ini secara perlahan-lahan.

Biasa disarankan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama wajar meterjemahkan sambutan kemerdekaan dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran, tapi bagaimana untuk meningkatkan penghayatan kemerdekaan kepada rakyat.

“Bukan senjata, meriam, jerangkap samar atau topi Bintang Tiga dari komunis dan bendera Union Jack yang berkibar suatu ketika dulu untuk melambangkan jiwa seseorang atau negara itu dijajah.

“Sebaliknya, minda yang masih kosong dan tidak dipenuhi pengetahuan mengenai sejarah dan pengorbanan nenek moyang kita, tanpa semua ini maka kita tidak akan rasa bersyukur berpijak di bumi bertuah ini

Mereka perlu didedahkan dengan senario pahit getir, darurat, perang malah setiap detik kesengsaraan yang negara alami bagi mencapai kemerdekaan supaya kesannya lebih dihayati,”katanya.

Jelasnya, maruah dan integriti seorang warganegara perlu diasah melalui rasa sayang dan syukur mereka kepada pejuang terdahulu yang telah bergadai nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan pada hari ini.

“Benar, penjajah telah tiada. Mereka telah pulang ke negara mereka masing-masing. Hari ini negara kita ditadbir dan diperintah kita sendiri, anak watannya.

“Tetapi hari ini kita dapat lihat bagaimana kita membiarkan diri dijajah dengan pelbagai trend hedonisme seperti KPop, dedah aurat, pergaulan bebas, dan gaya ikutan tidak sihat yang kita ambil bulat-bulat daripada luar, contohnya gangsterism,” katanya.

ADUN Bota itu berkata, semangat kemerdekaan semakin hari semakin menipis apabila pada hari ini sudah kelihatan anasir penjajah dibawa oleh rumpun masyarakat Malaysia sendiri.

“Ini amat jelas kerana pada kita sudah mula mempersoalkan tentang satu sama lain. Contohnya kita sering becakap mengapa kaum itu begitu, kaum ini begini? Sama ada kita sedar atau tidak, sudah ada pihak yang cuba menanam sifat prejudis dalam diri anak-anak kecil kita, dan apabila ini berlaku hasilnya generasi hari kita lihat lebih senang bergaul dan berkawan dengan kaum masing-masing sahaja.

“Malah jika kita amati berita-berita yang ada juga, sudah ada yang mula menyalahkan kaum tertentu. Salah sedikit, mulalah menyalahkan satu kaum…itulah yang terjadi pada hari ini. Ianya perlu diubah kerana jika berterusan seperti ini, macam mana kita nak merdeka dari segi minda?,”katanya lagi.

Beliau berkata ilmu pengetahuan merupakan satu-satunya kunci yang ada untuk menyekat kesemua elemen yang cuba memporak-perandakan perpaduan kita secara halus, dan ianya perlu bermula dari rumah sendiri.

Tambah beliau lagi, setelah 59 tahun merdeka masalah pokok iaitu syak wasangka dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya melibatkan sentimen keagamaan dan kaum.

“Apabila kerajaan menggariskan panduan melibatan sesetengah isu, ada pula pemimpin yang bukan cuba memahami tetapi menuding jari sedangkan mereka tahu tahu sesuatu perkara yang cuba dibuat kerajaan itu telah dikaji secara telus dan untuk manfaat semua,”katanya lagi.

Nasaruddin berkata kesemua pihak terutamanya ibubapa dan penjaga harus mula mengajar anak-anak mereka untuk menjiwai erti sebenar kemerdekaan bermula dari kecil.

Tambahnya, mereka juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak kerana sekadar bercakap sahaja tidak akan dapat meransang minda anak-anak untuk mencontohinya.

"Tanya diri kita sendiri. Untuk apa kita sematkan bendera di kereta dan rumah, tetapi apa yang kita ucapkan kepada anak-anak dan kawan-kawan disekeliling kita mencerminkan sikap rasa hormat pada kaum dan agama lain. Apakah kita tahu maksud sebenar Jalur Gemilang itu?.

Beliau berkata pemimpin pelbagai kaum juga perlu mengambil inisiatif menghayati pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu supaya semangat patriotisme benar-benar meresap dalam jiwa mereka.

“Sekiranya ini ada, maka saya dapat rasakan tidak akan ada lagi kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya boleh berlaku sehingga mencetuskan kontroversi.

"Sekiranya ini ada, saya percaya seseorang pemimpin itu akan berjaya menyemarakan semangat patriotism dalam diri setiap rakyat Malaysia. Kita tak mahu mereka sekadar mengibarkan bendera semata-mata tetapi tidak ada keinsafan dalam diri betapa untungnya lahir pada zaman yang sudah merdeka,” katanya.


77 views0 comments
bottom of page