TELUK INTAN: Kerajaan negeri Perak berazam menambahkan lagi skim-skim perumahan daripada pelbagai agensi kerajaan yang diusahakan bersama bagi menyediakan rumah kepada golongan rakyat berpendapatan rendah di negeri ini.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, beliau akan mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil rakyat dan menteri di peringkat Pusat untuk mencari pendekatan memperbanyakkan usaha membina rumah kepada rakyat bagi kategori pendapatan RM3,000 ke bawah yang juga dianggap sebagai penerima BR1M.
"Kita mengharapkan dengan adanya pendekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) ini akan dapat menampung keperluan rakyat yang berpendapatan rendah khususnya dalam daerah Hilir Perak,’’ katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan kunci Rumah Pangsapuri Laksamana Amanjaya Daerah Hilir Perak di perkarangan PPR Pangsapuri Laksamana Aman jaya, Teluk Intan pada Selasa.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.
Beliau yakin dengan beberapa pendekatan termasuk dengan tertubuhnya Lembaga Perumahan Negeri Perak yang diluluskan dalam sidang DUN baru-baru ini akan menjadi satu lagi mekanisma untuk kerajaan berusaha lebih giat lagi dalam membina rumah PPR kepada rakyat.
"Kita menggunakan pelbagai pendekatan dan bukan hanya bergantung kepada kaedah dan kerjasama pihak Kementerian Perumahan tetapi juga pendekatan melalui Yayasan Bina Upaya bagi membina rumah untuk rakyat,’’ katanya.
Pada majlis itu Dr Zambry telah menyerahkan kunci rumah kepada 150 penerima yang juga penyewa pangsapuri berkenaan.
Pangsapuri Laksamana Amanjaya terdiri daripada dua blok setinggi 10 tingkat dan setiap unit rumah mempunyai 3 bilik tidur, satu ruang tamu, sebuah dapur ,bilik mandi dengan keluasan tanah 825 kaki persegi serta dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti surau, pasar mini tadika, kawasan rekreasi, tempat letak kenderaan dan taman permainan kanak-kanak.
Kesemua penyewa yang terpilih untuk mendiami pangsapuri terbabit hanya dikenakan sewa bulanan sebanyak RM124.00