Empat maut termasuk dua kanak-kanak manakala satu cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 405, Lebuhraya Plus Arah Selatan dekat Tanjung Malim, awal pagi Selasa.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.20 pagi itu, empat mangsa yang menaiki kenderaan jenis Honda Stream itu telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadiaan. "Kita menerima panggilan pada jam 1.27 pagi dan setibanya anggota di sana terdapat kemalangan melibatkan empat buah kenderaan berlanggar sesama sendiri lalu terbalik. "Kesemua empat mangsa, lelaki dewasa dan wanita serta sepasang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang menaiki kenderaan Honda Stream telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadiaan oleh pasukan perubatan.
"Seorang mangsa lelaki yang menaiki kereta jenis pacuan 4 roda jenis Nissan mengalami kecederaan manakala seorang pemandu kereta Proton Suprima dan lima orang mangsa yang menaiki Perodua Axia terselamat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi Selasa.
Katanya, anggota telah bertindak mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia dari dalam kereta mengunakan strectcher dan menyerahkan mayat mangsa pada pihak polis bagi tindakan selanjutnya. "Mangsa lelaki yang mengalami kecederaan itu telah dihantar ke Hospital oleh orang awam. "Anggota juga turut membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terlibat dan anggota turut membuat pencucian jalan bagi membuang sisa-sisa serrpihan kenderaan yang hancur serta berteraburan di atas jalan raya," ujarnya. Difahamkan empat mayat mangsa tersebut telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru.