TELUK INTAN: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyangkal laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menggambarkan seolah-olah negeri Perak dikategorikan sebagai negeri miskin.
Menurut beliau, indikator mengukur garis kemiskinan dan pendapatan yang digunapakai oleh institut berkenaan adalah tidak tepat sehingga tidak menggambarkan realiti yang sebenar.
Beliau menarik perhatian laporan yang dikeluarkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Jabatan Statistik yang menunjukkan Perak berada dalam kedudukan kelapan dan tidak dikategorikan sebagai negeri miskin.
"Jadi, saya perlu perbetulkan laporan ini kerana jika rakyat membacanya, ia memberi gambaran yang sangat buruk terhadap negeri,'' katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan majlis Penyerahan Kunci Rumah Pangsapuri Laksamana Amanjaya, Daerah Hilir Perak di perkarangan PPR Pangsapuri Laksamana Amanjaya di Teluk Intan pada Selasa.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.
Dr Zamrby mengulas laporan KRI semalam yang menyebut Perak menjadi negeri kedua paling miskin selepas Kelantan kerana 81.1 peratus bilangan isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.
Laporan itu turut menyebut Perlis dan Pahang juga antara negeri yang mempunyai peratusan isi rumah berpendapatan kurang RM6,000 yang tertinggi iaitu masing-masing pada kadar RM80.3 peratus.
Dr Zambry berkata, beliau tidak mahu memberi perbandingan dengan negeri lain, namun kajian sedemikian sewajarnya mengambil kira pelbagai faktor dan indikator sebelum membuat kesimpulan.
Misalnya, kata beliau, garis pendapatan dengan garis kemiskinan adalah dua perkara yang berbeza.
"Garis kemiskinan dengan garis pendapatan adalah dua benda yang berbeza untuk melihat sebuah negeri miskin. Misalnya garis pendapatan yang ditetapkan sekarang ini diletakkan pada garis kemiskinan tegar RM580 manakala untuk miskin RM940.
"Jika diikut garis panduan ini, kita tidak tergolong dalam negeri miskin. (Tetapi) garis pendapatan yang disebut oleh KRI ialah pendapatan di bawah RM6,000,’’ katanya.
Selain itu, kata beliau, purata pendapatan keluarga, pendapatan isi rumah dan kedudukan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga wajar diambil kira.
Dr Zambry menambah, bagi mengelakkan kekeliruan dari segi fakta kedudukan ekonomi dan sosial negeri, beliau sendiri sebelum ini mengarahkan supaya EPU negeri untuk membuat kajian menyeluruh.
"Saya faham kekangan di peringkat EPU dan jabatan statistik kerana mereka terpaksa bersandarkan kepada apa (dapatan) yang ada di depan mereka. Sebab itu saya minta supaya kerajaan negeri juga perlu sediakan laporan,'' katanya.
Pada masa sama, ujar beliau, kedudukan sesebuah negeri sama ada ia miskin atau sebaliknya, perlu juga diukur bersandarkan keupayaan jentera pentadbirannya.
Dalam hubungan itu, jelas Dr Zambry, Perak diiktiraf oleh Laporan Audit Negara sebagai antara negeri yang paling cekap menguruskan kewangannya.
"Kita tidak ada membuat pinjaman daripada kerajaan persekutuan untuk membayar gaji kakitangan awam. Saya tidak mahu sebut, tetapi ada negeri yang terpaksa meminjam untuk membayar gaji. Kita di Perak tidak,'' jelas beliau.