Kuala Kangsar - Golongan wanita berpendapatan rendah serta suri rumah digalak menceburi kerjaya dalam bidang penterjemahan sebagai pekerjaan sambilan yang mampu menjana pendapatan lumayan dari rumah.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Yazid berkata, penterjemah merupakan satu bidang kerjaya yang memberi pulangan sangat lumayan selain waktu bekerja yang fleksibel.
Menurutnya bidang terjemahan mempunyai permintaan tinggi di negara ini sama ada yang melibatkan kerja terjemahan Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris atau sebaliknya.
“Ianya sangat sesuai untuk golongan wanita yang mahukan waktu bekerja yang fleksibel kerana perlu menjaga anak-anak atau mahu mendapat pendapatan yang lebih.
“Saya perhatikan golongan professional juga ada menduduki kursus untuk menceburi bidang ini malah meninggalkan kerjaya mereka untuk melakukan perkara ini secara sepenuh masa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bengkel kepimpinan ushawan “Team Me” Seed di Kuala Kangsar pada Isnin.
Tambah Mastura, kekurangan penterjemah dalam pelbagai bidang dan peluang pekerjaannya yang tinggi di dalam negara ketika ini seharusnya direbut golongan wanita.
Beliau yang merupakan pemegang Sijil Penterjemah dari Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) mengakui bidang itu kekurangan tenaga mahir.
“Sebagai pemegang sijil saya juga akui kita memang tidak cukup penterjemah ketika ini bagi memenuhi keperluan terjemahan oleh bidang penerbitan, media, media visual dan pelbagai lagi.
“Saya juga rasakan perlu bagi ITBN menganjurkan kursus-kursus terjemahan di luar daripada Kuala Lumpur dan tidak tertumpu kepada kawasan bandar sahaja bagi memberi peluang kepada golongan wanita dan suri rumah untuk mengikuti kursus tanpa perlu meninggalkan anak-anak mereka,” jelasnya.
Katanya, di peringkat Parlimen Kuala Kangsar, beliau akan mempertimbangkan untuk mengadakan kursus tersebut sekiranya mendapat permintaan tinggi.
“Sekiranya ramai yang berminat, pejabat saya akan berjumpa dengan ITBN untuk membawa kursus tersebut di Kuala Kangsar.
“Saya akan berbincang dengan ITBN supaya dapat adakan satu kursus terjemahan di sini dengan harga yang munasabah. Kita bercadang untuk menanggung kos tersebut kerana saya percaya mereka yang mengikutinya nanti bukanlah dari golongan yang berkemampuan,” ujarnya.