KOTA BHARU – Pegawai kanan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Kelantan yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibebaskan mahkamah majistret, di sini, tadi.
Majistret, Ahmad ‘Adha Amir Yasser Amri membebaskan suspek yang berusia 47 tahun itu dengan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.
Tempoh reman suspek berakhir hari ini selepas tujuh hari direman dan kemudian disambung enam hari bermula 16 Ogos lalu.
Suspek tiba di perkarangan Mahkamah Kota Bharu, di sini, pada jam 11.15 pagi dengan tuala menutup kepala dan dikawal anggota SPRM masuk ke bilik reman serta keluar semula pada jam 1 tengah hari.
SPRM sebelum ini membuat permohonan reman di mahkamah terhadap suspek bagi melakukan beberapa siri penggeledahan, merakam kenyataan berkaitan selain mendapatkan dokumen-dokumen penting berhubung kes berkenaan.
Suspek ditahan di pejabatnya di Kota Bharu pada jam 2.30 petang, 15 Ogos lalu menerusi operasi serentak yang dijalankan SPRM di negeri ini, Putrajaya dan Melaka.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Di bawah Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.
Suspek dipercayai mempunyai kekayaan luar biasa dengan memiliki sekurang-kurangnya empat kereta mewah termasuk Maserati, BMW dan Audi selain pelbagai barangan mewah dan tunai RM400,000 yang disorokkan atas syiling rumahnya. -Sinar Harian