IPOH: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perak menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan mengedarkan 250 Jalur Gemilang kepada orang ramai sempena Program Moh Ngeteh sambutan Hari Kebangsaan di pintu utama Pusat Transformasi Bandar (UTC), Ipoh pada Isnin. Menurut Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Keusahawanan) MARA Perak Mohamad Faizal Mohamad Zin, program itu diadakan bagi memupuk semangat dan kesedaran hari kemerdekaan negara yang ke-59 kepada orang ramai.
"Kita edar Jalur Gemilang ini untuk memupuk semangat dan kesedaran kemerdekaan kepada orang ramai termasuk golongan muda,’’ katanya. Menurut beliau, seramai 52 kakitangan MARA, ahli Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Perak, telah mengedarkan Jalur Gemilang itu kepada orang ramai di UTC. Sempena program itu, satu majlis tazkirah telah diadakan di Pejabat MARA negeri yang disampaikan oleh Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab MRSM Lenggong, Ustaz Mohd Nazri Yaakub. Dalam tazkirah itu Ustaz Nazri menjelaskan bahawa kemerdekaan yang hakiki ialah kemerdekaan diri rakyat negara ini daripada minda penjajah. "Penjajah asing seperti Belanda, Portugis dan British semuanya sudah meninggalkan kita hampir 60 tahun dan mereka masih lagi meninggalkan penjajahan dalam bentuk minda jadi penjajahan dalam bentuk minda itulah yang perlu kita hapuskan dan digantikan dengan akhlak yang mulia,’’ katanya. Katanya, akhlak yang mulia itulah yang mesti diterapkan dalam generasi muda hari ini kerana merekalah yang akan membina masa depan negara.