IPOH: Dua orang peniaga telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas tuduhan membuat catatan palsu dalam penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Kes ini merupakan yang pertama di Malaysia selepas penguatkusaan GST oleh kerajaan pada April tahun lepas. Ahmad Zawawi Abdul Rahim, 49, dari Taman Silibin Mewah, Ipoh mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan membuat catatan palsu dalam penyata GST.
Manakala Mok Siew Khuen, 49, juga mengaku tidak bersalah atas lima kesalahan yang sama. Hakim Ikmal Hishan Mohd Jamaludin mengenakan jamin RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin masing-masing ke atas Ahmad Zawawi dan Mok.
Ahmad Zawawi dituduh membuat penyata palsu dalam penyata GST-03 bagi tempoh bercukai 1 Oktober hingga 31 Disember 2015 berkaitan cukai imput sebanyak RM156,513 dengan niat untuk memperoleh kredit bagi cukai imput terhadap cukai output .
Dia melakukan perbuatan itu di Stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia No 1 Jalan Kinta Off Jalan Tun Razak, Ipoh pada 6 Januari 2016. Tuduhan kedua Ahmad Zawai dikatakan membuat catatan palsu dalam penyata GST pada 5 Februari 2016 ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 Januari 2016 hingga 31 Januari 2016 berhubung cukai imput sebanyak RM58,371.00. Tuduhan ketiga pada 9 April 2016 ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 Mac 2016 hingga 9 April 2016 berhubung cukai imput sebanyak RM72,687, tuduhan keempat pada 8 Mac ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 Februari hingga 29 Februari berhubung cukai imput sebanyak RM68,082.00. Tuduhan kelima pada 13 Oktober 2015 ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 Julai 2015 hingga 3 Oktober 2015 berhubung cukai imput sebanyak RM97,950.00, tuduhan keenam pada 7 Mei 2016 ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 April 2016 hingga 30 April 2016 berhubung cukai imput sebanyak RM80,739.00. Tuduhan ketujuh pada 13 September 2015 ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 Jun 1015 hingga 30 Jun 2015 berhubung cukai imput sebanyak RM54,466.00 Mok pula menghadapi tuduhan pertama membuat catatan palsu dalam penyata GST-03 iaitu pada 8 Januari 2016 ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 Disember 2015 hingga 31 Disember 2015 berhubung cukai imput sebanyak RM68,035.50 dengan niat untuk memperoleh kredit bagi cukai imput terhadap cukai output . Tuduhan kedua pada 5 Februari 2016 ditempat yang sama membuat catatan palsu bagi tempoh bercukai 1 Januari 2016 hingga 31 Januari 2016 berhubung cukai imput sebanyak RM66,810.00, tuduhan ketiga pada 6 Mac 2016 ditempat yang sama bagi tempoh bercukai 1 Februari 2016 hingga 29 Februari 2016 berhubung cukai imput sebanyak RM75,984.00 Tuduhan keempat pada 1 Mac 2016 ditempat yang sama membuat catatan palsu bagi tempoh bercukai 1 Mac 2016 hingga 31 Mac 2016 berhubung cukai imput sebanyak RM74,418.00 dan tuduhan kelima pada 6 Mei bagi tempoh bercukai 1 April 2016 hingga 30 April 2016 berhubung cukai imput sebanyak RM71,067.00. Kedua tertuduh melakukan perbuatan di bawah Seksyen 39 (1)(b) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun cukai dan dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Hakim Ikmal Hisham menetapkan 30 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.