LENGGONG: Usia lanjut tidak menghalang seorang bekas perajurit, Kamal Arof, 83, menjalankan tanggungjawabnya berkempen menggalakkan generasi muda mengibar jalur gemilang sebagai tanda menghargai erti sebenar kemerdekaan.
Kamal yang pernah pertugas sebagai anggota tentera di Singapura sebelum negara mencapai kemerdekaan, menzahirkan kekecewaannya melihat golongan muda hari ini hanya menyimpan jalur gemilang tetapi tidak mahu mengibarkannya di rumah disebabkan tidak tahu menilai erti kemerdekaan.
Menurut beliau, anak-anak muda hari ini sepatutnya berbangga kerana jalur gemilang dinaikkan dalam acara penuh bersejarah negara setelah Union Jack diturunkan apababila negara mendapat kemerdekaan.
``Mereka cuma simpan jalur gemilang buat kenang kenangan untuk anak-anak, sepatutnya kita kalau hendak perkenalkan kepada anak-anak, mesti kibarkan jalur gemilang biar mereka melihatnya dan memahami apa itu jalur gemilang.
``Kalau berkira tentang harga tak semahal manapun, hanya RM13 sahaja, jadi kalau kerajaan bagi BR1M empat lima enam belas helaipun, boleh beli, tak menjadi masalahpun,’’ katanya.
Kamal berkata demikian selepas dikunjungi rombongan 24 Ketua Puteri Bahagian yang diketuai Ketua Puteri Perak, Salbiah Mohamed sempena Program Kayuhan Prihatin Kemerdekaan Bersama Puteri UMNO Perak di rumahnya di Kampung Hulu Lenggong pada Ahad.
Kamal - lebih dikenali dengan panggilan Pak Teh yang bekas jurulatih asksar wataniah turut menceritakan pengalamannya membawa pelita kabat mendaki Gunung Kepala Gajah di Kampung Hulu Lenggong bersama penduduk kampung untuk menulis perkataan merdeka di puncak gunung tersebut semata mata kerana bersemangat kemerdekaan.
Beliau juga menceritakan pengalaman betapa susahnya penduduk sewaktu sebelum merdeka untuk membawa hasil getah ke pekan Lenggong kerana tiada pengangkutan.
Menurut Kamal oleh kerana waktu itu hanya beliau sahaja yang memiliki sebuah basikal, penduduk kampung terpaksa meminjam basikalnya untuk membawa hasil getah mereka ke pekan Lenggong.
Katanya, anak muda hari ini sudah hidup dalam suasana penuh selesa kerana sudah mampu memiliki sekurang-kurangnya sebuah motosikal atau kereta untuk kegunaan seharian.
Beliau berkata, semua kenikmatan dan pembangunan yang dinikmati pada hari ini adalah hasil pengorbanan bekas pejuang kemerdekaan dan mereka harus bersyukur atas nikmat itu.