top of page
muinsapidin

Tidak Konsisten Laksana SOP Punca Keracunan

IPOH: Tidak konsisten menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam penyediaan makanan serta kebersihan di kalangan pengendali kantin sekolah punca utama keracunan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazlie berkata, pihaknya telah mengesan 32 kes keracunan makanan di sekolah yang melibatkan 887 pelajar dari Januari hingga Ogos 2016 seluruh Perak.

"Daripada jumlah 45 kes yang terdiri daripada 1,263 individu yang mengalami keracunan makanan, 32 kes merupakan dari sekolah dan 887 adalah pelajar.

"Sebelum ini memang ada berlaku kes keracunan makanan cuma pada bulan ini terlalu banyak kes dan ianya melibatkan sekolah," katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Forum Awam Imunisasi Perak di Ipoh pada Ahad.

Menurut beliau, antara penyebab berlakunya keracunan makanan itu adalah berpunca daripada sikap pengendali kantin yang gagal mengikuti SOP ditetapkan secara konsisten.

Tambah beliau, profesionalisma di kalangan pekerja-pekerja kantin yang kurang terhadap penjagaan kebersihan kantin serta penyediaan makanan juga merupakan penyebab berlakunya keracunan.

"Kita di hospital setiap hari menyediakan makanan untuk beribu pesakit tetapi tidak ada kes kerana SOP kita yang ketat jadi merek juga seharusnya mengamalkan perkara yang sama.

"Ada sesetengah pengendali ini, rating kebersihan mereka tinggi tetapi bila jadi keracunan makanan kita buat pemeriksaan rating kebersihan itu jatuh pula, ini kerana mereka tidak konsisten," ujarnya.

Justeru itu beliau menasihati pengendali kantin khususnya di sekolah dan asrama untuk mengikuti SOP ditetapkan sepanjang masa dan tidak bermusim.

"Kita telah pun mengajar mereka mengenai proses pengendalian dan sebagainya, mereka hanya perlu ikut sahaja setiap masa.

"Pihak penyelia sekolah dan asrama juga perlu melakukan pemeriksaan setiap hari bagi tidak berlaku keracunan ini, kita telah pun beri checklist kepada mereka jadi sepatutnya tidak ada masalah," ujarnya.


18 views0 comments
bottom of page