top of page
muinsapidin

Puteri UMNO Perak Berbasikal Ziarah Bekas Pejuang Kemerdekaan

LENGGONG: Pergerakan Puteri UMNO Perak mengambil pendekatan pertama yang penuh simbolik dalam menyambut Hari Kemerdekaan apabila 24 Ketua Puteri Bahagian menyertai program kayuhan berbasikal dari rumah ke rumah untuk menziarahi bekas pejuang-pejuang kemerdekaan di beberapa buah kampung di kawasan Parlimen Lenggong pada Ahad.

Rombongan kayuhan berbasikal itu yang diketuai Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia bersama Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed turut menyampaikan jalur gemilang kepada orang ramai di perkarangan Bangunan UMNO Hulu Perak di pekan Lenggong.

Antara bekas pejuang kemerdekaan yang mereka ziarahi ialah Zainal Abidin Mohamed, 84 di Taman Bukit Senyum dan Kamal Arof, 83, dari Kampung Hulu Lenggong.

Shamsul berkata, pendekatan yang diambil oleh Puteri UMNO Perak itu sebagai satu simbolik yang jelas menunjukkan bahawa golongan muda hari ini benar benar menghargai jasa bekas pejuang kemerdekaan.

``Ini sebagai satu simbolik menunjukkan dengan jelas bahawa pemimpin muda hari ini benar-benar menghargai segala jasa yang mereka korbankan apatah lagi apa yang kita nikmati hari ini, semuanya adalah hasil daripada perjuangan mereka.

``Tidak mungkin kita dapati menikmati keamanan kemakmuran baik dari segi ekonomi pembangunan prasarana dan sebagainya tanpa ada usaha gigih dilakukan oleh generasi dahulu,’’ katanya kepada pemberita selepas program itu.

Menurut Shamsul, program yang diadakan itu amat bertepatan dan perlu dicontohi oleh Puteri UMNO yang lain kerana menunjukkan keprihatinan golongan pemimpin muda terhadap jasa dan pengorbanan bekas pejuang kemerdekaan.

``Di Lenggong kita lahirkan ramai pemimpin pemimpin yang bukan hanya diperingkat kawasan ini tetapi juga pemimpin diperingkat negeri dan juga negara,’’ katanya.

Beliau seterusnya meminta rakyat Malaysia supaya menjadikan semangat kemenangan kemerdekaan ini sebagai suatu cara yang boleh menyatukan rakyat.

Sementara itu, Salbiah yang juga ADUN Temengor berkata, pendekatan turun ke bawah yang diambil Puteri UMNO Perak ini adalah untuk menerap perasaan langsung kepada semua Ketua Puteri Bahagian tentang perjuangan dan pengorbanan bekas pejuang pejuang kemerdekaan.

``Apa yang kita buat pada hari ini juga sebenarnya untuk memberi perasaan langsung kepada ketua-ketua Puteri bagaimana perjuangan orang dulu dulu dan Lenggong antara tempat yang boleh dijadikan contoh apabila melahirkan ramai pemimpin termasuk Menteri Besar, datangnya daripada daerah Hulu Perak dan Lenggong sendiri.

``Hari ini kita buat ziarah Merdeka ini dengan berbasikal dan kita akan merasai bagaimana perjuangan orang dulu susah payah mereka dan hendak turun ke padang tidak ada kemudahan kemudahan seperti anak muda rasai sekarang ini dengan pelbagai kemudahan tetapi orang dulu susah tetapi semangat perjuangan mereka cukup tebal,’’ kata Salbiah.


14 views0 comments
bottom of page