top of page
muinsapidin

Perak Perkenalkan Semula Perkhidmatan Beca Di Ipoh

IPOH: Perak memperkenalkan semula perkhidmatan beca - satu lagi produk pelancongan terbaharu di Bandaraya Ipoh, sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Perak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kali terakhir perkhidmatan itu digunakan di Ipoh ialah pada 2005.

Menurut beliau, perkhidmatan itu yang disediakan oleh pihak M Bike, akan membawa pelancong ke 26 lokasi pelancongan di Ipoh, termasuk tempat makanan dan tempat-tempat menarik.

“Kita mengharapkan dengan adanya kepelbagaian dalam produk-produk ini, akan membawa lebih ramai pelancong ke Ipoh, sama ada pada hujung minggu atau ketika mereka bercuti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan itu sempena program Car Free Day di Jalan Raja DiHilir di sini pada Ahad.

Beliau memberitahu, perkhidmatan itu yang akan bermula 1 September ini akan dilaksanakan setiap hari tetapi pada waktu siang sahaja.

Menurut beliau, ia diadakan dengan kerjasama 10 pemain industri seperti hotel, restoran dan pengendali produk pelancongan

“Sebagai permulaan, mereka akan menggunakan 20 beca dan jika perkhidmatan meningkat, mereka akan menambahnya dari semasa ke semasa,” ujar beliau sambil menambah, perkhidmatan itu akan beroperasi dari Riverwalk Ipoh.

Mengenai program Car Free Day, Nolee berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pemain industri pelancongan seperti hotel berhampiran, untuk menarik lebih ramai pelancong mengambil bahagian di dalam program itu.

Kira-kira 7,000 warga Ipoh mengambil bahagian di dalam program Car Free Day hari ini yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria.

Pelbagai acara tambahan diadakan sempena tema Hari Kemerdekaan, antaranya pameran kereta perisai dan perarakan kanak-kanak taman didikan kanak-kanak (Tadika) di samping acara biasa seperti senamrobik, berbasikal, seni pertahanan diri, kick boxing, berkuda dan pemeriksaan kesihatan.


43 views0 comments
bottom of page