BAGAN SERAI - Seramai 3,000 penduduk Parlimen Bagan Serai turun padang memeriahkan Program Masyarakat Sihat Ke-2: 1,000 Langkah Merdeka anjuran Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai yang diadakan sempena Hari Kemerdekaan negara ke-59.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, penganjuran program itu disifatkan serampang dua mata memandangkan selain memupuk kesedaran masyarakat Parlimen Bagan Serai terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, ia juga menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan mereka.
Menurutnya, sambutan luar biasa diberikan penduduk setempat membuktikan keprihatinan mereka terhadap dua aspek penting perlu ditekankan dalam diri setiap rakyat Malaysia, iaitu aspek kesihatan diri dan perpaduan rakyat di bawah satu bumbung.
"Program ini dimulakan dengan aktiviti berjalan 1,000 langkah bermula padang Sekolah Kebangsaan(SK) Bagan Serai mengelilingi pekan Bagan Serai.
"Program itu disusuli dengan aktiviti senamrobik yang diselia Fitness Alor Pongsu, diikuti upacara nyanyian lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang oleh setiap penduduk yang hadir.
"Saya bersyukur program berjalan dengan lancar di samping kerjasama jitu diberikan Royal Medicine College Perak(RMCP), Kospen, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), Pejabat Kesihatan Daerah Kerian dan pengurusan SK Bagan Serai,"katanya kepada media di pekarangan SK Bagan Serai.
Dr Noor Azmi berkata, bagi memastikan usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan berterusan dalam kalangan rakyat Parlimen Bagan Serai, pihaknya bakal mengagihkan 500 Jalur Gemilang kepada setiap kenderaan di Pekan Selasa, Gunung Semanggol, Pekan Alor Pongsu dan Pekan Rabu, Selinsing.
Menurutnya, inisiatif itu penting bagi memastikan generasi Y negara ini akan lebih menghargai nilai kemerdekaan dikecapi negara sehingga kini.
"Kami juga akan meneruskan kesinambungan Program Masyarakat Sihat untuk siri-siri seterusnya sehingga tibanya Pilihan Raya Umum(PRU) ke-14.
"Pemilihan aktiviti berjalan kaki merupakan senaman paling murah, mudah, praktikal dan selamat untuk semua peringkat umur,"katanya.