KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan menyempurnakan istiadat Pengisytiharan Perlantikan Yang Teramat Mulia Raja Iskandar Raja Biran @ Raja Zaid sebagai Raja Kecil Tengah Darul Ridzuan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar pada Sabtu.
Sultan Nazrin turut berkenan mengisytiharkan perlantikan Yang Teramat Mulia Raja Izudin Chulan Raja Zainal Azman Shah sebagai Raja Kechil Bongsu Perak Darul Ridzuan.
Pengumuman pengisytiharan perlantikan Yang Teramat Mulia Raja Iskandar Raja Biran sebagai Raja Kechil Tengah dan Raja Izudin sebagai Raja Kechil Bongsu dijalankan oleh Orang Kaya Bendara Seri Maharaja, General (Bersara) Tan Sri Datuk Seri Diraja Mohd Zahidi Haji Zainuddin. Perlantikan mereka berkuatkuasa 1 Julai 2016.
Hadir sama menyaksikan istiadat itu, Raja Muda Perak, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Jaafar Raja Muda Musa , Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, anggota Exco Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Sebaik selesai pengumuman perlantikan, Yang Teramat Mulia Raja Iskandar Raja Biran dan Raja Izudin Chulan kemudian mengangkat sumpah di hadapan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin juga berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan darjah iaitu Darjah Kerabat (DK) kepada Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Baginda turut menyampaikan anugerah darjah Seri Paduka Cura Simanja Kini (SPCM) kepada anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Turut menerima anugerah yang sama daripada baginda ialah Yang Teramat Mulia Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah, Yang Teramat Mulia Raja Iskandar Raja Biran @ Raja Zaid dan Yang Teramat Mulia Raja Izuddin Chulan Raja Zainal Azman Shah.
Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Perak, Haji Zamri Hashim.