BAGAIMANA mahu tinggal dalam sebuah rumah dengan saiznya sekecil tempat letak kereta?
Sukar hendak percaya tetapi benar, malahan telah pun ada orang yang membelinya.
Akhbar TOPick dari Hong Kong melaporkan, biarpun rumah ini hanya mempunyai keluasan 71 kaki persegi, ia dipercayai akan habis dijual dalam masa terdekat dengan harga minimum, HKD1.5 juta (RM780,000) seunit!
Seperti yang diketahui, Hong Kong adalah sebuah negara kecil menyebabkan tanah begitu terhad untuk membina rumah yang banyak.
Nilai rumah di negara itu kini semakin meningkat sehingga menyebabkan hanya golongan atasan dan sederhana sahaja yang mampu memiliki rumah sendiri.
Hari ini, di Hong Kong, bagi sebuah rumah flat yang berkeluasan lebih kurang 400 kaki persegi, harganya kini mencecah HKD7 juta( RM3.6 juta).
Maka tidak hairanlah rumah sekecil itu dengan harga RM780,000 tetap ingin dibeli, terutama sekali bagi golongan muda yang ingin memiliki rumah kepunyaan sendiri.
Projek pembinaan flat ini telah bermula sejak tahun 2014. Ia dibina setinggi 20 tingkat, mengandungi 354 unit dan daripada jumlah itu, unit yang berkeluasan 71 kaki persegi itu mempunyai 276 unit ataupun 78 peratus daripada keseluruhan flat yang dibina.
Bagi yang ingin membeli rumah sekecil itu, mereka bukan sahaja perlu dikenakan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus, malahan perlu membayar duti setem dan bayaran guaman yang berjumlah lebih kurang AS$160,000 (RM83,000) !