SERI MANJUNG: Walaupun terpalit dengan kontroversi ekoran dakwaan berlaku pencabulan di maahad tahfiz yang diasaskannya, program ceramah Datuk Mohd Kazim Elias (Ustaz Kazim) tetap mendapat sambutan.
Terbaharu, dalam siri ceramah perdana di Mini Stadium, Majlis Perbandaran Manjung pada Jumaat malam, lebih 7,000 umat Islam membanjiri stadium untuk mendengar ceramah beliau.
Malah, orang ramai datang seawal jam 8 malam walaupun ceramah Ustaz Kazim dijadualkan bermula jam 9 malam.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ADUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Riduan (KADIR), Datuk Azhar Ahmad.
Azhar ketika ditemui berkata, kehadiran kira-kira 7,000 orang itu menunjukkan kontroversi yang terpalit sejak dua tiga hari kebelakangan ini tidak menjejaskan keyakinan umat Islam di negeri ini terhadap Ustaz Kazim.
"Sebelum ini, kita pernah adakan majlis serupa dengan kehadiran begitu memberansangkan dan malam ini juga tidak kurang hebatnya apabila ramai yang hadir.
"Ini menunjukkan orang ramai tidak kisah dengan isu yang ditimbulkan kerana minat dengan cara penyampaian ceramah Ustaz Kazim yang senang untuk diterima," katanya.
Sementara itu, Ustaz Kazim di dalam ceramahnya yang turut menyentuh mengenai isu berkenaan berkata, beliau tidak takut menghadapinya.
"Jika ada orang yang cuba fitnah saya, fitnah anak-anak murid saya, silakan, kami tidak takut kerana selalu berdamping dengan al-Quran," tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya membudayakan al-Quran sebagai pelindung diri.
"Semua orang ada masalah, termasuk saya yang sentiasa ada ujian, namun tidak perlu gentar jika kita sentiasa berdamping dengan al-Quran," ujarnya.
Ustaz Kazim juga mengingatkn agar umat Islam menekankan dua lagi perkara iaitu solat dan sedekah, sekiranya ingin mendapat perlindungan Allah.
Dalam hubungan ini, beliau bersyukur kerana negeri Perak juga adalah sebuah negeri yang tenang disebabkan pemimpinya membudayakan al-Quran melalui penubuhan sekolah tahfiz.
"Saya suka bila dapat berceramah di hadapan pemimpin besar negeri kerana mereka boleh membawa perkara baru.
"Di Perak terdapat banyak sekolah tahfiz dibangunkan dan ini membantu membawa kepada keberkatan kepada negeri.
"Inilah hikmah kita membudayakan al-Quran kerana semuanya pasti akan berjalan lancar," kata beliau.