top of page
muinsapidin

‎Kerajaan Belanja RM50 juta bila penempatan baru Orang Asli Kg Sungai Rui

CAMERON HIGHLANDS - Projek penempatan semula masyarakat Orang Asli yang terjejas dalam tragedi tanah runtuh dan banjir lumpur lima tahun lepas telah mengubah wajah perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan tinjauan kira-kira 20 minit di kawasan sekitar termasuk melihat 152 perumahan jenis berkembar semi-D dan lima rumah komuniti yang disiapkan awal tahun ini. Najib berkata, kos bagi pembangunan semula kawasan perkampungan Orang Asli itu adalah sebanyak RM50 juta membabitkan keluasan 26.3 hektar dengan melibatkan kira-kira 900 penduduk daripada suku kaum Semai. "Alhamdulillah, hari ini kita dapat menyaksikan apa yang kita telah luluskan itu menjadi realiti. Saya berasa amat bangga kerana semua keluarga yang terlibat dalam nahas tersebut, kini hidup dalam rumah moden yang cukup sempurna dan membuka masa depan yang meyakinkan. "Ini sekaligus menunjukkan bahawa dari segi kerajaan, kita terus berusaha supaya setiap kelompok dan komuniti dalam negara kita akan mendapat pembelaan yang sewajarnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra di perkampungan Orang Asli berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Pada majlis itu, Najib turut melawat rumah milik Tok Batin Kadir a/l Ah San, 46, serta beramah mesra dengan penduduk setempat dan menyaksikan persembahan tarian sewang oleh sekumpulan pemuzik Orang Asli tempatan. Projek Penempatan Semula Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya di tapak penempatan sedia ada yang dilanda tanah runtuh pada 7 Ogos 2011. Kerja-kerja penempatan semula itu melibatkan rawatan cerun, pembinaan 152 buah rumah penduduk jenis semi-D, surau, dewan serba guna, tadika, rumah komuniti, tandas awam serta pembinaan premis perniagaan untuk memberi peluang kepada penduduk di sini menjalankan aktiviti ekonomi. Projek penempatan semula itu juga mengambil kira konsep pembangunan lestari dan mesra alam memandangkan sekitar kawasan ini yang berbukit-bukau dan kerja-kerja pemotongan tanah diminimumkan bagi menjaga alam sekitar. Kerja-kerja pembinaan semula perkampungan itu dilaksanakan bermula Januari 2013 dan siap hujung Januari lepas. Perpindahan penduduk ke kawasan penempatan baharu ini dimulakan pada 30 Mei lalu. Sementara itu, Kadir ketika ditemui berkata Orang Asli di negara ini tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan daripada arus pemodenan negara walaupun mereka hanya kumpulan minoriti. “Kami seronok bila kerajaan tidak meminggirkan Orang Asli, malah tidak jemu membantu kami hinggalah kami mendapat semula kediaman kami termasuk disediakan kemudahan yang lengkap,” katanya. Seorang pesara polis, Baahau a/l Bageran, 60, berkata Orang Asli bukan sahaja bersyukur tetapi juga berbangga apabila kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri prihatin membela nasib mereka di kawasan luar bandar dan pedalaman. “Pembinaan semula kawasan rumah kami itu akan menguatkan lagi semangat Orang Asli menyokong kerajaan Barisan Nasional untuk terus mentadbir negara,” katanya.


34 views0 comments
bottom of page