IPOH: Penceramah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias telah membuat laporan polis terhadap dua pengguna media sosial (facebook) kerana membuat komen-komen yang berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang penceramah agama terkenal tanah air.
Ustaz Kazim berkata, beliau membuat laporan itu kerana merasakan komen-komen negatif yang dibuat oleh Syed Azmee Alhabshee dan Wardina Saffiyah itu sebagai komen-komen yang sangat memalukannya dan satu tindakan perlu diambil bagi membersihkan namanya dan nama sekolahnya Maahad Tahfiz Darul Barakah.
Menurut Ustaz Kazim, laporan polis yang dibuatnya terhadap Syed Azmee dan Wardina Saffiyah kerana mereka memviralkan isu ini dan mengaitkan nama beliau di dalam laporan daripada seorang ibu yang mengatakan mangsa pencabulan.
"Saya mengambil keputusan untuk membuat laporan ini sebab mempertahankan diri saya kerana komen-komen yang begitu negatif.
"Malah ada yang menggelarkan saya dengan gelaran gelaran yang buruk ekoran viralnya didalam facebook mereka jadi saya minta supaya pihak polis mengambil siasatan ke atas perkara ini supaya tidak berlaku fitnah yang berpanjangan terhadap diri saya terhadap sekolah saya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dearah IKpoh pada Jumaat.
Beliau berharap netizen netizen yang membuat komen dan sebagainya di dalam facebook mereka supaya dapat berhati hati dengan tidak mengatakan sesuatu yang diluar batasan Islam.
Menurut Ustaz Kazim, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap kedua pengguna facebook terbabit kerana telah mencelarkan reputasinya sebagai seorang penceramah terkenal tanah air dan juga sekolah maahad tahfiz di bawah kelolaannya.
Ditanya sekiranya pengguna facebook itu mendakwa komen-komen itu tidak dituju kepada beliau kerana tiada nama disebut, katanya, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk menyiasatnya.