IPOH: Penceramah bebas terkenal tanah air, Datuk Ustaz Kazim Elias menafikan dakwaan konon berlakunya insiden liwat di asrama sekolah Maahad Tahfiz Darul Barakah di bawah kelolaannya.
Beliau menyifatkan dakwaan yang dibuat oleh individu yang bertanggungjawab itu sebagai satu fitnah dan pembohongan dengan tujuan memburukkan nama baik sekolah tahfiz miliknya itu yang membawa nama dan reputasi Islam yang sangat tinggi.
Menurut Ustaz Kazim, beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab menabur fitnah dalam media sosial dan juga mereka yang terlibat.
Katanya, beliau memandang serius fitnah dan tuduhan pencabulan atau meliwat ini kerana sekolah Maahad Tahfiz Darul Barakah ini membawa nama dan reputasi Islam yang sangat tinggi.
“Saya dengan rendah diri berjanji akan bekerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan dan kami berikrar untuk tidak berkompromi di dalam apa jua sekiranya benar insiden itu berlaku.
“Kami akan menyerahkan siapa juga yang terlibat kepada pihak berkuasa untuk dihukum mengikut lunas lunas negara meskipun yang dituduh itu mungkin darah daging saya sendiri.
Ini adalah tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim dan seorang warga negara Malaysia,’’ katanya.
Ustaz kazim berkata demikian kepada pemberita semasa membuat penjelasan berhubung isu pencabulan seksual yang kononnya berlaku di asrama sekolah maahad tahfiz kelolaannya yang menjadi viral di media sosial baru baru ini.
Sidang media khas itu diadakan di Dewan Maahad Tahfiz Darul Barakah, Manjoi pada Jumaat.
Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang didakwa kononnya ada membuat ugutan terhadap ib u bapa mangsa.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan apa apa perkataan yang didakwa kononnya ugutan daripada saya terhadap ibu bapa mangsa.
Ini adalah satu fitnah dan saya tegaskan tidak pernah mengeluarkan kata-kata
‘jangan main main dengan saya…ada orang besar dibelakang saya’.
“Ini adalah fitnah yang sangat besar yang dilontarkan kepada saya.
Pelajar tersebut juga berhenti daripada sekolah kami atas pilihan ibu bapanya sendiri dan ketika itu dia langsung tidak disebut yang dia dicabul dan sebagainya,’’ katanya.
Menurut Ustaz Kazim, pihaknya mempunyai dokumen berpaksikan keterangan saksi, rakaman video termasuk semasa perjumpaan dengan ibu bapa yang terlibat dan surat-surat berkenaan bagi kes ini.
Beliau memberi jaminan kepada ibu bapa bagi semua pelajar dan bakal pelajar di sekolah Maahad Tahfiz Darul Barakah bahawa keselamatan dan kehormatan anak anak mereka adalah terpelihara sepenuhnya sebagai seorang muslim dan muslimat.