top of page
muinsapidin

Dr Zambry Pantau Kemajuan Projek Di Pangkor

PANGKOR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meluangkan masa hampir sehari untuk meninjau kemajuan beberapa projek di pulau itu.

Antara projek itu ialah padang sintetik di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor, projek pusat pemulihan dadah bersama Pengasih, Arena Square dan Masjid Terapung atau Masjid Seribu Selawat.

Menurut beliau, masjid tersebut yang satu-satunya terdapat di negara ini dijangka dapat digunakan untuk solat Hari Raya Aidiladha bulan depan.

"Keseluruhannya, saya jangka ia dapat disiapkan sepenuhnya hujung tahun ini," katanya selepas meninjau kemajuan projek-projek itu pada Jumaat.

Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada Datuk Abdul Latiff Mirasa daripada Yayasan Restu yang banyak membantu dalam memastikan rekabentuk dalaman masjid, khususnya yang melibatkan senibina Islam, dapat disiapkan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pusat pemulihan dadah yang diusahakan bersama Pengasih dijangka dapat menempatkan kira-kira 100 orang penagih pada satu-satu masa.

"Pendekatan yang kita gunakan ini bukanlah seperti memenjarakan mereka tetapi lebih kepada pendekatan untuk memulihkan mereka menggunakan kaedah detoks untuk mengeluarkan segala bahan-bahan dadah dalam badan mereka," katanya sambil berharap dengan adanya pendekatan yang digunakan, masalah dadah di Pangkor dapat diatasi dengan sebaiknya.

Selain itu, Dr Zambry turut meninjau pembangunan menyeluruh kawasan Teluk Gedung, termasuk kawasan perumahan nelayan yang hampir siap dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Baru-baru YAB telah datang ke Lumut dan daripada kawasan TLDM, beliau dapat melihat terus ke kawasan ini, khusus perumahan nelayan yang beliau berikan bantuan dan beliau sendiri memberikan komitmen untuk merasmikan kawasan ini," ujar beliau.


38 views0 comments
bottom of page