IPOH: Sebanyak 439 ekor lembu dan 16 ekor kambing diterima untuk diedarkan ke seluruh negeri sempena Korban Perdana 2016.
Sumbangan diterima daripada tujuh agensi dan anak syarikat kerajaan negeri dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Korban Perdana 2016M / 1437H di kediaman Menteri Besar di sini pada malam Khamis.
Gambar Hiasan
Tujuh agensi dan anak syarikat itu ialah LAP, SADC, PKNP, SSI, MB Inc., Yayasan Perak dan KPerak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima sumbangan itu yang kemudiannya di serahkan kepada YBU, KADIR dan NGO.
Turut berjalan serentak dengan majlis itu ialah Majlis Bacaan Yassin & Solat Hajat Perdana Sempena Peperiksaan Awam & Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak.
Dr Zambry di dalam ucapannya berkata, sumbangan itu sebagai tanda kesyukuran di atas rezeki yang diperolehi oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Menurut beliau, selain sumbangan itu, anak-anak syarikat kerajaan negeri juga turut membayar zakat , hasil keuntungan yang diperolehi dari setahun ke setahun.
Sementara itu, Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, sumbangan untuk korban perdana ini jauh meningkat, berbanding 360 ekor lembu tahun lalu.
Beliau memberitahu, seperti tahun-tahun lalu, sumbangan itu akan diagih-agih ke seluruh negeri, termasuk di setiap kawasan DUN, masjid, pihak keselamatan dan pertubuhan bukan kerajaan.