IPOH: YBU Holdings Sdn Bhd dan Chulia Life Sciences Sdn Bhd akan membangunkan Pusat Inovasi Teknologi Perubatan Asean atau Asean MEDtech Innovation Park (Amtop) yang pertama negara di Kamunting dengan nilai pembangunan berjumlah RM400 juta.
Pengarah Eksekutif YBU Holdings, Hamzarul Hazmin Hamdan berkata, pembangunan Amtop itu bakal menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam menyelesaikan isu-isu dan keperluan di dalam peralatan perubatan di rantau Asean.
Menurut beliau, pusat itu akan menumpukan kepada empat industri iaitu pembuatan, perniagaan membaikpulih peralatan perubatan, badan pensijilan peralatan perubatan serta pendidikan dan latihan kemahiran berkenaan perlatan perbuatan.
“Kita dapat tahu ketika ini lebih 60,000 peralatan perubatan telah dikategorikan sebagai diluar kemampuan untuk membaiki kerana kita perlu menghantarnya ke luar negara, jadi pontesi dalam industri membaikpulih peralatan perubatan ini cukup besar.
“Ini juga untuk membina kapisiti dan keupayaan khususnya untuk hospital kerajaan yang kita tahu tidak mempunyai peralatan yang cukup,” katanya dalam sidang media khas di Ipoh pada Khamis.
Katanya, selain objektifnya yang mahu memastikan peralatan perubatan digunakan hospital kerajaan seluruh negara ini dapat diselenggara dan digunakan secara mampan, ia turut membolehkan Malaysia bersaing dalam pasaran peralatan perubatan dunia.
“Ketika ini, walaupun terdapat peralatan perubatan yang dibina di sini tetapi kita terpaksa menghantar ke luar negara bagi pensijilan dan sebagainya, akhirnya apabila masuk ke Malaysia semula, harganya jadi tiga kali ganda.
“Jadi ini merupakan usaha kita juga untuk menempatkan industri ini di sini supaya semuanya ada di negara kita, sekaligus kita juga mampu bersaing dan menembusi pasaran luar negara,” jelasnya.
Ujar beliau lagi, syarikat membaikpulih perlatan perubatan terbesar di Eropah, Kumpulan TBS dari Itali telah bersetuju untuk menjadi rakan teknikal pihaknya dalam projek pembangunan tersebut.
Tambah beliau, pusat itu akan mula dibina pada suku pertama 2017 dan dijangka siap pada 2018 di atas tanah seluas 48 ekar.
“Pelancaran insitif Amtop ini akan dibuat pada 5 September depan semasa hari pertama Pangkor International Development Dialogue (PIDD) 2016 dan disaksikan, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Casuarina@Meru Ipoh,” ujarnya.
YBU Holdings Sdn Bhd merupakan sebuah badan perniagaan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan.