IPOH: Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan menggunakan jalan alternatif berikutan penutupan beberapa jalan utama bermula Sabtu ini.
Penutupan jalan itu adalah bagi memberi laluan kepada aktiviti raptai dan sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 peringkat Negeri Perak.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata penutupan tersebut akan melibatkan beberapa laluan utama yang melibatkan Pekan Ipoh Lama serta di sekitar kawasan Lahat.
Katanya, lencongan dan penutupan itu akan dilakukan seawal pukul 6 pagi hingga sekitar 12 tengahari dan bermula pada 27 Ogos (Jumaat) hingga 31 Ogos ini.
"Kepada mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan ETS dan sekitar Dataran KTM, terdapat beberapa lencongan jalan untuk sampai ke destinasi tumpuan ramai itu.
"Dari Jln Kuala Kangsar - Jln RM Aziz - Jln Tun Razak – lampu isyarat Jln Tun Razak/Jln St Jont - Jln Regat Tun Perak, atau dari Jln Lahat - Bltn Kidd- Jln Tun Razak - T/light Jln Tun Razak/Jln St Jont - Jln Regat Tun Perak.
"Selain itu, pengguna jalan raya juga boleh menggunakan Jln Slibin - Jln Tun Perak - simpang Jln Tun Tazak/Jln St Jont - Jln Regat Tun Perak," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat IPD di sini pada petang Khamis.
Sum berkata antara jalan-jalan yang ditutup adalah Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan SP Seenavasagam, Jalan Komplek Islam/ Jalan Lim Bo Seng, Jalan Sultan Yusuf/ Jalan Bandar Timah, Jalan Lahat/Jalan Silibin, lampu isyarat Lahat Kidd,Jalan Laxmana, Jalan Persiaran Kidd, Bulatan Kidd dan lampu isyarat Jalan Tun Razak/Gurdwara.
Katanya, raptai pertama pada 27 Ogos ini akan mengambil tempat sepanjang Jalan Sultan Yusuf, Jalan Lahat, Persiaran Kidd dan Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab manakala raptai penuh pada 28 Ogos di hadapan Town Hall melibatkan konvoi, perbarisan , pancaragam dan pelbagai aktiviti bulan kemerdekaan.
Selain itu, Sum juga menasihatkan orang ramai untuk jangan bersikap leka dan bersabar ketika hendak menggunakan jalan alternatif berikutan pergerakan kenderaan akan menjadi sedikit perlahan dalam tempoh tersebut.
"Antara lencongan lain adalah Jln Panglima Bukit Gantang dilengcongkan masuk ke Jln Komplek Islam - Jln Lim Bo Seng, Jln Lim Bo Seng dilengcongkan masuk jalan hadapan Hotel River Front ke Medan Istana.
"Manakala Jalan St John dilencongkan masuk ke jalan Panglima Bukit Gantang Wahab menghala ke Jalan Kuala Kangsar, Jalan Sultan Iskandar dilengcongkan ke Jalan Bandar Bijih Timah - persimpangan Medan Mara.
Persimpangan Lahat akan dilencongkan ke Jalan Lim Boon Swee / Bulatan Kidd,"katanya.