top of page
muinsapidin

Lembaga Maahad Tahfiz Perlu Tegas Ketatkan Kawalan Disiplin

Semua pihak Lembaga Maahad Tahfiz di negeri Perak perlu tegas dan mengambil tindakan mengetatkan kawalan disiplin bagi mengelak sebarang bentuk perbuatan salah laku dalam kalangan pelajar seperti pencabulan seksual.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin, kes pencabulan seksual yang dilaporkan berlaku di sebuah Maahad Tahfiz dan kini dalam siasatan pihak polis dapat dielakkan sekiranya pihak Lembaga sekolah dan Maahad Tahfiz berkenaan mengetatkan kawalan disiplin.

Beliau bimbang sekiranya perkara seperti ini tidak dikawal dan dibendung ia boleh menjejaskan imej semua maahad tahfiz yang terdapat di negeri Perak yang selama ini melahirkan ramai para hafiz.

"Kes pencabulan seksual seperti ini maka sudah tentunya menjejaskan imej maahad-maahad tahfiz di negeri ini yang amat dikenali kerana melahirkan ramai para hafiz,‘’ katanya ketika dihubungi.

Datuk Yusop juga menegur mereka yang memviralkan isu maahad tahfiz itu sebagai pusat pemulihan sedangkan pusat-pusat agama seumpama itu telah berjaya melahirkan ramai orang yang yang baik-baik dan para hafiz.

"Satu atau dua kes tak perlu diviralkan kerana pusat-pusat seumpama itu melahirkan ramai orang yang baik-baik dan para hafiz kasihanilah mereka yang hendak mendidik anak-anak kita,’’ jelasnya.

Namun begitu, katanya, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Menurut Datuk Yusop, ini kerana Maahad Tahfiz terbabit adalah sekolah swasta yang bukan dibawah urus tadbir JAIPk berbanding sekolah menengah agama negeri dan Tahfiz yang terdapat di lima daerah di Perak yang berdaftar dengan JAIPk.

Katanya, maahad Tahfiz terbabit mempunyai lembaga tadbir yang berkuasa melantik guru, memulih pelajar , kewangan sendiri dan mengambil tindakan disiplin serta lain-lain perkara.

Menurut Datuk Yusop, pihaknya telah membuat lawatan ke mahaad tahfiz berkenaan beberapa hari lalu dan pegawai JAIPk telah menemuramah beberapa orang pelajar.

Semalam, polis Perak mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz di sini yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak maahad tahfiz berkenaan.

"Memang ada laporan dibuat dan pihak polis sedang menjalankan siasatan dan akan melengkapkannya secepat mungkin.

"Dalam hal ini kita kena berhati-hati dan teliti serta menjaga semua aspek,’’ katanya kepada pemberita pada majlis Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Negeri Perak di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di Ipoh pada Rabu.

Abdul Rahim diminta mengulas mengenai viral menerusi WhatsApp baru-baru ini mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain berlaku seks luar tabii.

Menurut Abdul Rahim, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.


15 views0 comments
bottom of page