top of page
muinsapidin

Ibubapa Pelajar Mahaad Tahfiz Tunggu Siasatan Penuh Polis

IPOH: Ibubapa pelajar sebuah mahaad tahfiz di sini yang viral kerana didakwa terlibat dalam kes pencabulan dan seks luar tabii, tidak merasa terkesan di atas insiden itu dan masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Tinjauan Suara Perak mendapati ibubapa kira-kira 100 pelajar yang menuntut di pusat pendidikan itu masih menantikan siasatan dan laporan penuh daripada pihak berkuasa.

Walaupun agak bimbang di atas keselamatan anak-anak mereka, namun mereka tetap percaya bahawa siasatan dan laporan penuh perlu dikemukakan sebelum bersangka buruk terhadap mahaad tahfiz yang menjadi pusat menimba ilmu di Perak itu.

Difahamkan, maahad tahfiz itu juga akan mengadakan pengambilan baharu pelajar dalam masa terdekat.

Semalam, pemilik Mahaad Tahfiz al Barakah dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Kazim Elias menafikan berlaku pencabulan seksual di kalangan pelajarnya seperti yang viral di media sosial.

Beliau menyokong penafian itu dengan meyakinkan Maahad Tahfiz Darul Barakah dilengkapi dengan kamera litar tertutup CCTV di setiap kawasan dan peluang untuk kejadian seumpana berlaku itu hampir tiada.

Sebelum ini, polis Perak mengesahkan telah menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada 10 individu berhubung dakwaan pencabulan seksual maahad tahfiz berkenaan.

Pihak pengurusan mahaad tahfiz yang ditemui pada Khamis berkata mereka akan menyerahkan laporan kepada pihak polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sementara itu, semalam Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya telah membuat lawatan ke maahad tahfiz berkenaan beberapa hari lalu dan pegawai JAIPK telah menemuramah beberapa pelajar.

Beliau memberitahu, walaupun berdaftar dengan JAIPK, namun urusan pentadbiran dan pengambilan pelajar dikendalikan sepenuhnya maahad berkenaan.


13 views0 comments
bottom of page