IPOH: Polis Perak mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz di sini yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka. Menurut Ketua Polis Negeri, Dato’ Seri Abdul Rahim Hanafi, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak maahad tahfiz berkenaan.
"Memang ada laporan dibuat dan pihak polis sedang menjalankan siasatan dan akan melengkapkannya secepat mungkin. "Dalam hal ini kita kena berhati-hati dan teliti serta menjaga semua aspek,’’ katanya kepada pemberita pada majlis Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Negeri Perak di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di Ipoh pada Rabu. Abdul Rahim diminta mengulas mengenai viral menerusi WhatsApp baru-baru ini mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain berlaku seks luar tabii. Menurut Abdul Rahim, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan. Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya telah membuat lawatan ke mahaad tahfiz berkenaan beberapa hari lalu dan pegawai JAIPk telah menemuramah beberapa pelajar. Mohd Yusop menjelaskan walaupun berdaftar dengan JAIPk, segala urusan pentadbiran termasuk pengambilan pelajar dikendalikan sepenuhnya oleh maahad tahfiz berkenaan kerana ia merupakan institusi swasta. - Suara Perak