top of page
muinsapidin

Lebih 2,000 Sertai PIDD 2016

IPOH: Lebih 2,000 peserta akan mengambil bahagian di dalam Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) 2016 yang akan diadakan di Amanjaya Convention Centre di sini pada 5 – 7 September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penyertaan kali ini lebih besar berbanding tahun-tahun lalu kerana ia melibatkan beberapa kalangan orang kenamaan dari luar negara.

Menurut beliau, antara tokoh yang akan turut bersama pada PIDD 2016 ialah Pemenang Hadiah Nobel 2006, Profesor Muhammad Yunus yang merupakan pengasas Bank Mikrokredit Grameen, Bangladesh.

Selain itu, kata beliau, beberana kenamaan lain juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk hadir, antaranya ketua menteri dari negara luar, gabenor wilayah dari Filipina, Indonesia dan Thailand di samping beberapa menteri dari luar negara.

“Kita juga sedang merancang untuk mewujudkan beberapa pendekatan baru dalam PIDD ini dan kita mengharapkan persidangan pada kali ini akan berjaya mencapai matlamatnya dengan penyertaan-penyertaan yang ada ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini pada Rabu.

PIDD merupakan platform penting bagi pemikir, intelektual, ahli akademik dan pembuat dasar di peringkat negara dan rantau ini untuk mengadakan perbincangan mengenai pembangunan.

Ia mula dianjurkan pada tahun 2013 dengan penyertaan hanya 250 penyertaan dan meningkat kepada 400 orang pada tahun 2014.

Pada tahun lalu, pihak penganjur, Institut Darul Ridzuan (IDR) menjangkakan kira-kira 700 peserta akan mengambil bahagian tetapi akhirnya jumlah peserta meningkat kepada 1,200 orang.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seharusnya menjawab isu mengenai kesan alam sekitar ekoran penambakan laut di negeri ini dan tidak mengaitkannya dengan negeri lain.

“Tak payahlah dia nak lemparkan (tuduhan) kepada negeri-negeri lain, saya pun tak suka membuat respon kepada projek-projek di negeri lain, mereka bertanggungjawab untuk menjawab kritikan-kritikan itu, tak payahlah nak melemparkannya ke negeri lain,” kata beliau.

Tambahan pula, kata beliau, Perak belumpun melaksanakan projek penambakan itu kerana ia masih di peringkat cadangan awal untuk melaksanakannya di Bagan Datoh.

Bagaimanapun, Dr Zambry berkata, ia sudah tentu akan tertakluk kepada laporan kekesanan alam sekitar (EIA), kerana kerajaan negeri tidak akan berbuat demikian tanpa merujuk kepada laporan tersebut.

Menurut laporan akhbar hari ini, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan media perdana yang hanya menyentuh isu alam sekitar ekoran kerja-kerja penambakan laut di Pulau Pinang sedangkan dakwanya ia turut berlaku di Melaka dan Perak.


40 views0 comments
bottom of page