top of page
muinsapidin

Jenayah Siber Perak Libatkan Kerugian RM 4.5 Juta

IPOH: Jumlah kerugian kes jenayah siber di seluruh negeri Perak, terutama yang melibatkan Macau Scam dan African Scam, meningkat lebih tiga kali ganda, daripada RM1.4 juta kepada RM4.5 juta antara Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya telah melakukan sebanyak 51 tangkapan melibatkan 83 kes penipuan jenayah siber dalam tempoh Januari hingga Julai 2016, hasil kerjasama masyarakat dan siasatan polis.

Menurut beliau, bilangan kes Macau Scam meningkat daripada 16 ke 29 kes pada Januari hingga Julai tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala 132 kes African Scam direkodkan, berbanding 69 kes tahun lalu.

“Selain itu, jenayah siber melibatkan 224 kes penipuan jual beli barang di internet pada tahun ini berbanding 127 pada tahun lepas, kesemuanya membabitkan peningkatan sebanyak 81.6 peratus bagi semua jenis kes jenayah komersial.

“Bagi kerugian pula, penipuan jual beli barang di internet meningkat kepada sekitar RM500,000 berbanding RM300,000 pada tahun lepas, Macau Scam meningkat kepada RM1.2 juta pada tahun ini, berbanding hanya RM150,000 tahun lepas, kenaikan sebanyak 700 peratus.

“Perubahan terbesar adalah pada African Scam, iaitu daripada sekitar RM1.5 juta berbanding dengan RM 4.5 juta bagi tempoh sama pada tahun ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Majlis Pelancaran Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK ) Perak pada pagi Rabu.

Menurut Abdul Rahim, modus operandi Macau Scam adalah dengan teknik penyamaran sebagai pegawai bank, pegawai polis atau pegawai mahkamah, malah menyamar culik, manakala African Scam melibatkan pelaku memperdaya mangsa dengan kiriman barang atas talian.

Katanya, mangsa semua penipuan jenayah siber terutamanya African/Love Scam tidak mengenali latar belakang dan memperdayakan mangsanya, baik mereka yang datang daripada golongan professional, kerajaan atau pekerja biasa untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Abdul Rahim juga menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan janji manis ataupun tipu helah mereka yang cuba mengaut keuntungan melalui atas talian.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya akan segera menyiasat laporan kes gangguan seksual yang dipercayai melibatkan sebuah maahad tahfiz di sini, setelah siasatan lengkap dijalankan.

Menurut beliau, polis telah merekodkan 10 kenyataan atau rakaman percakapan daripada orang ramai yang melaporkan berkenaan perkara itu.

“Perkara ini perlu dikendalikan secara berhati-hati dan siasatan harus dijalankan secara berterusan atas soal sensitiviti dan melibatkan pelbagai aspek, sehingga hari ini kesemua guru termasuk pelajar telah dipanggil untuk soal siasat bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan yang viral di laman sosial serta aplikasi Whatsapp berkenaan cubaan pihak pengurusan maahad tahfiz yang disyaki melakukan gangguan seksual ke atas pelajar mereka.

Rahim berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 377 (e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


25 views0 comments
bottom of page