IPOH: Kerajaan negeri Perak mahu memastikan Pulau Pangkor bebas daripada tarikan penjualan arak dan rokok sekiranya usaha menjadikannya destinasi bebas cukai menjadi kenyataan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu adalah untuk kerajaan negeri pastikan Pulau Pangkor tidak menjadi seperti Pulau Langkawi yang terkenal dengan destinasi bebas cukai untuk minuman keras dan rokok.
“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan Kedua yang baru di mana beliau akan melihat semula apakah bentuk paling sesuai untuk melaksanakan idea menjadikan Pulau Pangkjor sebagai pulau bebas cukai.
“Konsep kita ialah hendak menjadikan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai berbeza daripada Langkawi yang mana sebut sahaja Langkawi orang ingat arak dan rokok.
Buat Pangkor kita nak sesuatu tarikan berbeza apabila ia menjadi pulau bebas cukai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wawancara khas Selamat Pagi Perak di PerakFM, Ipoh pada Selasa.
Menurut Dr Zambry, beliau telah mengemukakan cadangan supaya Pulau Pangkor dapat diwujudkan sebagai pulau bebas cukai dalam bentuk yang lain tanpa menjual arak dan rokok tetapi pelbagai item dan barangan yang menjadi tarikan pelancong.
Sehubungan itu beliau berharap Kementerian Kewangan akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan untuk menjadikan kawasan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai bagi memaju perumbuhan ekonomi, terutama dalam sektor pelancongan.