IPOH: Pelbagai cara dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk menyatakan rasa gembira dan syukur mereka setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan negara yang jatuh pada 31 Ogos.
Ada yang mengibarkan Jalur Gemilang di sekeliling rumah, pejabat atau pada kenderaan masing-masing dan yang lebih patriotik, mengembara seluruh negara sambil membawa Jalur Gemilang.
Bagaimanapun, bagi pemilik sebuah restoran nasi kandar di sini, mereka memilih sambutan kemerdekaan tahun ini untuk memperkenalkan harga promosi makanan yang dijual.
Pemilik bersama Pekan Nasi Kandar DJ Bistro di Jalan Sultan Idris Shah, Dulkibali Jamaluddin berkata, mereka membuat promis itu sebagai tanda terima kasih kepada negara yang membolehkan pengusaha restoran nasi kandar turut menikmati erti kemerdekaan.
Menurutnya, jika sebelum ini mereka menjual nasi kandar pada harga RM6.50 tetapi mulai 24 Ogos (Rabu), harganya hanya RM4.90 atau diskaun kira-kira 20 peratus.
“Kami hendak mempromosikan makanan tradisonal kami sempena merdeka dengan harga patut kerana kami bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di restorannya pada Selasa bersama-sama dua lagi rakan kongsi, Mohaideen Sheik dan Datuk shan.
Menurut Dulkibali, harga promosi itu yang akan berterusan sampai bila-bila juga adalah sebahagian usaha mereka untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat.