IPOH: Kerajaan negeri Perak memandang serius permainan maya, Pokemon Go yang berlaku di Malaysia, termasuk di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, laporan dan kajian yang dibuat mendapati aplikasi permainan itu tidak mendatangkan kebaikan yang besar, malah ia mendatangkan masalah kepada masyarakat.
Menurut beliau, ini kerana ia berkait rapat dengan privasi seseorang dan boleh memberi kesan serius dari segi keselamatan apabila terdapat jabatan tertentu terpaksa meletakkan notis larangan bermain aplikasi itu di presmis mereka.
“Kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara ini, khususnya melibatkan kawasan keselamatan dan sensitif untuk aplikasi itu iaitu di kawasan Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) dan kediaman,’’ katanya kepada pemberita selepas Program Wawancara Khas Selamat Pagi Perak di PerakFM, di sini pada Selasa.
Beliau diminta mengulas berhubung fenomena aplikasi tersebut yang turut menular di negeri Perak ketika ini.
Sehubungan itu, Dr Zambry menasihatkan mereka yang menggunakan aplikasi Pokemon Go ini supaya mengendalikannya sebaik mungkin, dengan mengetahui batas-batasnya.
“Mereka perlu memilih lokasi yang bersesuaian untuk bermain permainan tersebut kerana dikhuatiri mengancam keselamatan berikutan terdapat kes melibatkan kemalangan disebabkan olehnya,” ujarnya.
Menurut beliau, para penjawat awam dilarang bermain aplikasi Pokemon Go ketika waktu pejabat.