top of page
muinsapidin

Kementerian Pendidikan Perlu Tegas Tangani Isu Keracunan Makanan

IPOH: Kementerian Pendidikan perlu bertegas dalam soal penyediaan makanan di kantin dan dewan makan sekolah bagi mengelakkan berulangnya kejadian keracunan makanan.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang paling penting ialah perlunya satu standard penyediaan makanan di kantin sekolah selain kualiti makanan yang disediakan untuk pelajar.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu keracunan makanan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya yang membabitkan pelajar sekolah.

“Selagi kita tidak ada kaedah yang terbaik kualiti makanan yang baik untuk anak-anak kita yang belajar di sekolah berasrama, selagi itulah kita akan terus mendengar kisah- kisah ini,’’ katanya kepada pemberita selepas Program Wawancara Khas Selamat Pagi Perak di PerakFM, di sini pada Selasa.

Dr Zambry diminta mengulas mengenai kes keracunan makanan yang kerap berlaku membabitkan pelajar sekolah di negeri ini.

Sehubungan dengan itu, beliau akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Datuk Dr Mah Hang Soon menyediakan laporan mengenai perkara tersebut.

Dr Zambry berkata, beliau juga akan meminta laporan daripada Jabatan Pendidikan Perak.

Menurut beliau, disebabkan soal sekolah terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, maka apabila berlaku sahaja kes-kes keracunan makanan, kerajaan negeri tidak dapat bertindak.

Rabu lalu, seramai 53 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan yang disediakan pengendali makanan di dewan makan kolej tersebut.

Ahad lalu pula, seramai 52 pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng menerima rawatan di hospital setelah menfgalami simptom keracunan makanan selepas makan di kafetaria kolej berkenaan.

Sementara itu, menurut Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazali sebanyak 10 kes keracunan makanan direkodkan di sekolah di Perak sepanjang bulan ini.


26 views0 comments
bottom of page