KUCHING: Berang ditahan dalam sekatan jalan raya, sepasang suami isteri ‘naik minyak’ dan memaki hamun anggota polis yang menahan mereka, malam semalam.
Tidak cukup dengan itu, pasangan terbabit turut bertindak mencederakan anggota polis bertugas, termasuk menggigit lengan dua anggota polis bertugas. Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai ketika mengesahkan kejadian, berkata insiden berlaku ketika dua anggotanya menjalankan operasi cegah jenayah di Jalan Matang Baru, di sini.
Katanya, anggota terbabit terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan lanjut.
“Ketika kejadian, kenderaan terbabit dipandu seorang wanita berusia 41 tahun, manakala penumpang lelaki berusia 44 tahun dan mereka dipercayai pasangan suami isteri.
“Anggota terbabit kemudian memeriksa bahagian belakang kenderaan itu dan penumpang lelaki tiba-tiba keluar, seterusnya menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bertugas,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Katanya, lelaki terbabit yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol bertindak di luar batasan apabila cuba merampas senjata api jwnis HK- MP5 dibawa seorang anggota bertugas menyebabkannya terpaksa ditahan.
“Melihat keadaan itu, pemandu wanita terbabit meluru ke arah anggota bertugas dan berlaku sedikit pergelutan. Ketika itulah, suspek lelaki menggigit lengan kiri Konstabel Rasid Harun, manakala suspek wanita mengigit lengan kiri Koperal Limsa Zaini.
“Namun, tindakan pantas kedua-dua anggota terbabit berjaya menahan pasangan berkenaan walaupun mengalami kecederaan,” katanya.
Abang Ahmad ketika mengulas lanjut, berkata pasangan terbabit direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.