top of page
muinsapidin

Trauma Disamun Kali Kedua

JERTIH - Sebuah keluarga di Kampung Air Terjun trauma setelah rumah mereka disamun dua kali dalam tempoh tiga minggu.

Dalam kejadian pertama, rumah banglo dihuni pasangan warga emas bersama anak cucu mereka itu disamun kira-kira jam 4 pagi, awal bulan ini.

Munah menunjukkan bahagian bawah rahangnya yang sakit sambil diperhatikan Muhammad

Belum pun hilang trauma kejadian pertama, keluarga terbabit dikejutkan pula dengan kejadian terbaharu yang berlaku kira-kira jam 7.08 pagi kelmarin.

Mangsa, Muhammad Mat Yazid, 76, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang bersiap untuk menghantar cucu ke sekolah.

Menurutnya, ketika mahu keluar melalui pintu dapur, tiba-tiba muncul seorang lelaki memakai topeng mata sambil menghunus sebilah golok ke arahnya.

“Suspek suruh pakcik masuk semula ke dalam rumah dan bertanya di mana peti besi. Bila pakcik beritahu tak ada peti besi, lelaki bertubuh tinggi dan berbadan tegap itu terus tampar pipi kanan pakcik menyebabkan pakcik terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak agak jauh daripada rumah lain.

Menurut Muhammad, isterinya, Munah Wan Mat, 70, yang belum menyedari kejadian itu, kemudian datang ke bahagian dapur menyebabkan suspek menerpa ke arah isterinya pula.

Katanya, kesempatan itu diambilnya untuk keluar rumah dan meminta bantuan penduduk kampung.

“Rupa-rupanya menantu perempuan pakcik bersama anaknya ada dalam bilik berhampiran dapur. Setelah menyedari kehadiran penjenayah itu, dia kunci pintu dari dalam bilik dan hubungi polis,” katanya.

Tambah Muhammad, selepas memberitahu penduduk, dia bergegas pulang ke rumah kerana bimbang keselamatan isterinya yang lumpuh tangan kanan.

Katanya, sebaik sampai di rumah, dia dapati dua penjenayah itu, termasuk yang menunggu di bahagian luar rumah, sudah melarikan diri.

“Suspek lari dengan meninggalkan kereta Perodua Kancil di dalam kebun getah berhampiran rumah pakcik bila sedar penduduk dan polis telah berada berhampiran kereta mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, walaupun rantai leher isterinya bernilai lebih RM6,000 dilarikan penyamun, namun dia tetap bersyukur kerana isterinya selamat dan hanya sakit di dagu kiri akibat terkena rantai direntap suspek.

“Suspek minta tunjuk peti besi, sedangkan kami tak ada peti besi. Mereka sangka pakcik dan makcik ada duit, sedangkan rumah ini adalah rumah anak dan menantu sebab menantu pakcik kerja dengan syarikat cari gali minyak,” katanya.

Dalam kejadian itu, Muhammad juga menyangka dia dan isteri akan menemui ajal kerana suspek bersungguh menghunus golok tajam berkilat ke arah mereka.

Muhammad tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian pertama dan kedua adalah orang yang sama dan mereka mengulangi perbuatan itu kerana tidak berpuas hati apabila hanya sempat menyamun cincin isterinya dalam kejadian pertama.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV dipasang menantunya selepas kejadian pertama, berjaya merakam suspek memakai topeng mata berwarna hitam, yang kemudian diserahkan kepada Balai Polis Jertih selepas membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan kejadian dan polis merampas sebuah Perodua Kancil dipercayai milik suspek, yang ditinggalkan di dalam kebun getah berhampiran rumah mangsa.

Menurutnya, siasatan mendapati tiada rekod hilang dan didaftarkan atas nama seorang perempuan beralamat di Felda Neram, Kemaman.

“Polis giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api," katanya.


27 views0 comments
bottom of page