SERI ISKANDAR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar mengingatkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya jangan cuba menjadi hero dan menghentikan tindakkan mempolitikkan isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Perak.
Menurut beliau, tindakan Penasihat DAP Perak itu boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Noh berkata, adalah lebih baik jika Ngeh tidak bercakap mengenai perkara itu, sekiranya beliau sendiri tidak jelas dan tidak faham apa yang dicakapkannya.
“Inilah masalah pembangkang, dia tidak faham tapi cuba jadi hero, kalau tidak faham tanya di Parlimen,” katanya kepda pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah PPR di Bandar Universiti Seri Iskandar pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengulas tindakan Ngeh yang mempertikaikan projek PPR di Seri Iskandar dan Kamunting.
“Kenyataannya yang merujuk kepada kenyataan saya, dia hendak melibatkan kerajaan negeri, saya buat kesimpulan yang jelas bahawa dia tidak faham apa yang dia cakap,” ujar beliau.
Pada sesi persidangan DUN Perak baru-baru ini, Ngeh sengaja mensensasikan isu nilai rumah PPR yang dibina di dua lokasi tersebut dengan mendakwa terdapat unsur rasuah.
Ngeh mendakwa kos pembinaan sebuah rumah PPR iaitu RM157,000 adalah merujuk kepada harga jualannya kepada pemohon.
Menurut Noh, kenyataan Ngeh itu mengelirukan dan sengaja melibatkan kerajaan negeri untuk mendapatkan penjelasan.
Katanya, bagi projek pembinaan PPR di bawah seliaan kementerian atau kerajaan Persekutuan, harga jualan kepada pemohon ditetapkan adalah RM35,000 seunit manakala bagi pihak kerajaan negeri Perak, harga jualan rumah kos rendah ditetapkan di bawah RM70,000.